Pelan bangunkan wilayah utara

Iklan
DATUK SERI JEBASINGAM ISSACE JOHN

SINAR HARIAN: Datuk Seri telah berada di dalam perkhidmatan awam selama 45 tahun. Apakah yang memberi inspirasi kepada Datuk Seri untuk meneruskan karier dalam perkhidmatan awam?

DATUK SERI JEBASINGAM ISSACE JOHN: Saya telah berkhidmat di peringkat Persekutuan dan Negeri di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Saya pernah melaksanakan pelbagai projek utama berperingkat tinggi termasuk Perancangan dan Pembangunan Putrajaya, Pelan Pembangunan Lembah Klang, serta Taman-taman Berteknologi Tinggi Seperti di Kulim, dan Rancangan Pembangunan di Pulau Langkawi.

Iklan
Iklan

Selaku Pengarah Jabatan Perancangan Bandar di Perbadanan Putrajaya, saya juga bertanggungjawab dalam perumusan dasar dan strategi pelaksanaan dalam pembangunan Putrajaya yang membawa kepada kejayaan pelancaran modal pentadbiran persekutuan Malaysia pada bulan Ogos 1995.

Saya juga telah menyertai PETRONAS pada tahun 2006, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada tahun 2007 hingga 2018.

Iklan

Semasa di ECERDC, saya menerajui pelaksanaan dan pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan memainkan peranan utama dalam menetapkan panduan, dasar dan strategi yang berkaitan dengan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Dalam tempoh perkhidmatan ini, prinsip saya mahu memberi impak yang berkesan kepada rakyat. Kedua, perlu ada prinsip pentadbiran yang betul dan juga ketelusan serta integriti. Bagi saya, ini perkara yang penting khususnya sebagai penjawat awam.

Iklan

Datuk Seri telah menjawat jawatan sebagai Ketua Eksekutif NCIA pada tahun 2019. Apakah yang menarik perhatian Datuk Seri mengenai NCER?

NCER adalah wilayah signifikan bagi negara. Lebih 36 peratus perdagangan negara adalah dari wilayah utara. Kedua, lebih 60 peratus pelaburan swasta adalah di wilayah utara.

Wilayah utara juga merupakan wilayah yang unik daripada segi hub teknologi bagi negara. Ini menjadikan wilayah utara ini penting sama ada dari segi sosioekonomi, atau daripada segi perkembangan ekonomi negara. Tapi pada masa yang sama, wujud ketidakseimbangan antara negeri, juga antara daerah di wilayah ini.

Pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang mendalam terhadap ekonomi negara dan rakyat di Malaysia dan turut terkesan adalah rakyat dari NCER.

Apakah strategi Datuk Seri bagi menghadapi kesan cabaran pandemik Covid-19 di NCER?

Tiga perkara perlu diambil kira. Pertama daripada segi pewujudan peluang pekerjaan. Kedua, masalah pengekalan sistem. Jadi pewujudan peluang pekerjaan adalah suatu yang penting dan perlu diberi perhatian.

Kemudian adalah kelestarian perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). PMKS menghadapi masalah dalam tempoh ini jadi bagaimana kita mahu mengekalkan semua PMKS ini dalam tempoh pandemik ini. Satu lagi sektor yang sangat terkesan adalah sektor tidak formal seperti peniaga kecil, pekebun kecil.

Jadi apa yang penting dalam era pendemik ini kita perlu ada tiga perkara, iaitu peluang pekerjaan, peluang keusahawanan dan bagaimana kita mahu kekalkan atau mampan perniagaan sedia ada.

Datuk Seri telah berjaya melakukan pelbagai transformasi selama 3 tahun menerajui NCIA. Apakah kejayaan-kejayaan tersebut?

Pertama sekali adalah rancangan pembangunan strategik selama lima tahun. Kita ada rancangan pembangunan yang khusus di mana berdasarkan kepada rancangan pembangunan ini, NCER akan mencapai sekurangkurangnya RM300 bilion keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Jadi semua rancangan pembangunan yang kita laksanakan ini diharap dapat mencapai kadar pertumbuhan 6 peratus atau lebih dalam tempoh ini supaya isu-isu berkaitan pandemik ini dapat diatasi.

Jadi kita ada banyak program modal insan. Ini termasuk program memperkasakan NCER yang memberi peluang kepada semua syarikat PMKS dan peniaga kecil.

Kita juga ada program pemerkasaan akademik untuk keluarga miskin dan B40 serta rancangan pembangunan untuk pelajar supaya mereka bukan hanya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi dapat ditempatkan di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Ketiga, adalah program JomKerja@NCER. Kita akan beri sokongan kepada syarikat-syarikat untuk mengambil pekerja baharu atau penganggur. Kita akan beri subsidi kepada mereka sehingga RM600 sebulan selama setahun.

Selain itu kita ada Dana Usahawan NCER (DU@NCER). Ini adalah satu program khusus untuk PKS dan peniaga kecil Bumiputra. Geran akan diberi kepada syarikat-syarikat Bumiputra agar mereka boleh terus kekal dalam tempoh pasca Covid-19.

Seterusnya kita ada program entrepreneurNCER iaitu program dengan kerjasama bank-bank utama di negara ini. Kita ada Maybank dan Agrobank di mana akan berikan pinjaman kepada syarikat-syarikat ini. NCIA akan tanggung 50 peratus daripada faedah pinjaman yang dikenakan.

Satu lagi program yang sangat berkesan adalah program Kasih Ibu untuk masyarakat miskin dan miskin tegar. Setiap bulan mereka boleh membeli barang keperluan asas sehingga RM250 menggunakan kad pembayaran tanpa tunai di kedaikedai panel. Mereka juga layak menerima rawatan kesihatan bernilai sehingga RM500 setahun di klinik-klinik swasta terpilih.

Kita juga ada program JomNiaga@NCER untuk peniagapeniaga kecil di mana kita berikan kit untuk mereka mulakan perniagaan.

Akhir sekali bagi graduan penganggur, kita ada NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) di mana syarikat-syarikat akan melantik mereka dan kita akan beri subsidi upah sehingga RM1,000 dalam tempoh setahun. Syarikat terlibat akan ambil graduan ini secara tetap.

Program Modal Insan berteraskan rakyat ini sangat memberi impak tinggi di mana ia melibatkan lebih 68,000 rakyat di wilayah utara ini.

Kita juga melaksanakan program-program yang memberi impak tinggi, yang memberi pelaburan serta pekerjaan baharu. Ini termasuk projek-projek seperti Kedah Rubber City yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Apakah harapan Datuk Seri kepada NCER and bagaimanakah Datuk Seri melihat NCER dalam pembangunan sosioekonomi negara dalam tempoh 5 tahun akan datang?

Dalam lima tahun yang akan datang, saya melihat pembangunan mampan di NCER akan memfokuskan kepada sektor-sektor keutamaan dan strategik iaitu pembuatan, yang antara lain meliputi aeroangkasa, elektronik dan elektrik (E&E), serta peranti perubatan; perniagaan tani dan industri bio; petrokimia; ekonomi hijau; perlombongan mapan; dan perkhidmatan yang terdiri daripada pelancongan, logistik dan kesalinghubungan, ekonomi digital, dan pendidikan.

Inisiatif-inisiatif pembangunan modal insan ini disasarkan kepada rakyat dari segenap lapisan masyarakat khususnya bagi mengatasi isu kemiskinan, termasuklah komuniti Orang Asli.

Pendekatan inklusif ini adalah bagi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam transformasi sosioekonomi di wilayah ini, terutamanya golongan B40 di kawasan pedalaman.

Pelan Pembangunan Strategik NCER (2021-2025) ini bakal menjadi rujukan bagi agenda pembangunan wilayah ini untuk tahun-tahun berikutnya.

INFO

Pencapaian 2021

- RM26.27 bilion pelaburan diluluskan (sasaran RM16 bilion).

- 30,573 peluang pekerjaan diluluskan (sasaran 20,000) RM22.95 bilion pelaburan direalisasikan.

- 18,299 peluang pekerjaan direalisasikan.

Sasaran 2022

- RM23 bilion pelaburan diluluskan.

- RM20 bilion pelaburan direalisasikan.

- 28,000 peluang pekerjaan diluluskan.

- 17,000 peluang pekerjaan direalisasikan.