Dagangan Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ketiga berturut-turut

Iklan
Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada sesi awal dagangan pada Selasa. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada sesi awal dagangan pada Selasa, didorong oleh aliran masuk dana asing yang semakin meningkat serta pengukuhan harga minyak sawit dan ini turut tebukti dengan peningkatan sektor perladangan dan prestasi yang baik dalam keputusan sektor perbankan, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.04 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.45 mata kepada 1,618.73 berbanding 1,608.28 pada penutup Isnin.

Iklan
Iklan

Indeks utama naik 0.28 mata pada paras pembukaan pada 1,608.56.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 222 berbanding 112, manakala 203 kaunter tidak berubah, 1,710 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Iklan

Jumlah dagangan adalah sebanyak 165.36 juta unit bernilai RM92.46 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pihaknya percaya sentimen positif akan berterusan di bursa tempatan walaupun keadaan bercampur-campur di Wall Street disebabkan kebimbangan berterusan terhadap konflik geopolitik antara Rusia dan Ukraine.

Iklan

Namun begitu, ia menambah kenaikan seterusnya mungkin dihadkan oleh ketegangan geopolitik Rusia-Ukraine yang tidak dapat diselesaikan.

"Sementara itu, pelabur juga perlu memantau keputusan kadar faedah Bank Negara Malaysia pada Khamis," katanya dalam nota pada Selasa.

Firma pembrokeran itu kekal optimis terhadap prospek sektor tenaga, perbankan, perladangan dan pengguna terutama ketika harga minyak mentah dan minyak sawit mentah yang semakin kukuh selain pemulihan dalam aktiviti perniagaan secara keseluruhan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Hong Leong Financial naik 18 sen kepada RM19.50, Petronas Dagangan menambah 16 sen kepada RM21.68, Hong Leong Bank meningkat 32 sen kepada RM20.38, Petronas Gas lebih tinggi 26 sen kepada 17.66, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM9.17.

Bagi saham aktif, Sanichi Technology tidak berubah pada tiga sen, Matang Bhd menokok satu sen kepada 11.5 sen, dan Berjaya Corporation meningkat 1.5 sen kepada 25 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih tinggi 70.93 mata pada 11,497.72, Indeks FBMT 100 naik 70.77 mata kepada 11,176.64, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 104.25 mata kepada 12,221.84, Indeks FBM 70 peroleh 79.87 mata menjadi 13,555.93 dan FBM ACE meraih 29.94 mata kepada 5,917.72.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 3.46 mata kepada 214.34, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 70.71 mata kepada 16,595.62 dan Indeks Perladangan mengembang 97.50 mata kepada 8,413.01. - Bernama