Perak lancar Jelajah Denai elak rizab sungai diceroboh

Iklan
Saarani (dua dari kiri) menyempurnakan Pelancaran Logo Jelajah Denai Sungai Negeri Perak Sejahtera 2022 di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak pada Selasa.

IPOH - Kerajaan Perak melancarkan inisiatif Jelajah Denai dalam usaha menyelamatkan kawasan rizab sungai daripada diceroboh untuk dijadikan lokasi penempatan haram.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif yang diumumkan pada Belanjawan 2022 Perak itu sebagai usaha menggembleng penglibatan pelbagai pihak termasuk komuniti berdekatan sungai untuk menjaga dan memelihara denai-denai sungai di seluruh negeri Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu membabitkan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat, komuniti setempat dan golongan pelajar yang akan menyusun serta melaksanakan pelbagai program berkaitan pemuliharaan sungai.

"Inisiatif ini adalah antara komitmen kerajaan negeri untuk melindungi kawasan sungai yang menjadi sumber bekalan air selain salah satu daripada mekanisme kawalan pencemaran sungai dan pengurusan risiko banjir.

Iklan

"Melalui inisiatif Jelajah Denai juga, aktiviti pengindahan denai-denai sungai akan dipergiatkan sekali gus menyelamatkan kawasan rizab sungai daripada menjadi lokasi penempatan haram," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Logo Jelajah Denai Sungai Negeri Perak Sejahtera 2022 di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak, di sini pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan dan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Iklan

Saarani berkata, jelajah itu juga turut melibatkan pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Menurutnya, seramai 15 ADUN telah dilibatkan secara langsung dalam usaha berkenaan agar mereka dapat memainkan peranan mencadangkan aktiviti komuniti yang bersesuaian dengan usaha memulihara denai sungai.

"Antara pengisian program melalui inisiatif ini termasuklah penganjuran secara berkala aktiviti-aktiviti riadah seperti berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat.

"Ini sekali gus menghalang pihak tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah atau sisa toksik yang selama ini menjadi punca pencemaran," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang bentuk program khusus asalkan ia dapat menggalakkan orang ramai menjaga dan memelihara kebersihan sungai.

Jelasnya, program tersebut juga dirangka secara bersekali dalam sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak dan Hari Sungai Sedunia sebagai penutup jelajah berkenaan.