Pelaksanaan RFID di plaza tol bukan langkah drastik

Iklan
Kementerian Kerja Raya mengambil maklum reaksi negatif pengguna lebuh raya berikutan pelaksanaan RFID di Lebuh Raya PLUS tersebut. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Inisiatif pelaksanaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang menimbulkan kontroversi awal tahun ini bukan perancangan yang dilakukan secara drastik.

Sebaliknya, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia telah dilaksanakan melalui projek rintis melibatkan plaza tol sistem terbuka di Lembah Klang sejak tahun 2017.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pelaksanaan projek rintis RFID bagi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pula pada peringkat awal bermula pada 1 Januari 2020 hanya melibatkan 10 plaza tol sistem terbuka merangkumi plaza tol antaranya di Jambatan Pulau Pinang, LINKEDUA dan Butterworth – Kulim Expressway (BKE).

"Seterusnya, Ujian Rintis Awam RFID bagi Kenderaan Kelas 1 telah dilaksanakan melibatkan 9 plaza tol sistem tertutup yang disiapkan pada Oktober 2021. Lanjutan daripada projek rintis yang dilaksanakan oleh pihak PLUS tersebut, pelaksanaan RFID telah dilancarkan pada 15 Januari 2022.

Iklan

"Kementerian Kerja Raya mengambil maklum akan reaksi negatif pengguna lebuh raya berikutan pelaksanaan RFID di Lebuh Raya PLUS tersebut.

"PLUS (M) Berhad selaku syarikat konsesi yang bertanggungjawab ke atas lebuh raya terpanjang di Malaysia, dengan 83 plaza tol dari Hutan Kampung sehingga ke Skudai amat peka dan prihatin terhadap isu-isu operasi yang dibangkitkan oleh pengguna,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PH-Sabak Bernam) yang memintanya menyatakan setakat manakah pelaksanaan kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi RFID di semua tol tertutup di Lebuh Raya PLUS dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) dan setakat manakah RFID ini mampu mengatasi masalah kesesakan di plaza tol serta nyatakan sama ada Touch n GO dan Smart Tag akan terus digunakan di kedua-dua lebuh raya itu.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, bagi tujuan penambahbaikan dan memastikan keselesaan pengguna khususnya untuk kutipan tol bagi sistem tol tertutup (closed system), pihak PLUS telah melaksanakan beberapa tindakan bersifat jangka masa pendek.

Katanya, antara langkahnya adalah menempatkan petugas tol di plaza tol bagi membantu pengguna lebuh raya yang menghadapi masalah pengesanan di lorong RFID, mengekalkan lorong TnG dan SmartTag sedia ada sebagai pilihan kepada pengguna sehingga pengguna bersedia untuk beralih kepada sistem RFID.

"Selain itu, mengadakan program kesedaran secara berterusan bagi memastikan isu-isu yang dihadapi oleh pengguna dapat diselesaikan dan kecekapan sistem pengurusan tol dapat dipertingkatkan," katanya.

Tambahnya, langkah ini diambil sebagai persediaan peralihan kepada sistem kutipan tol kepada Multi Lane Free Flow (MLFF) bagi memastikan sistem lebih efektif dan berkesan.

"Sehingga kini kutipan tol secara RFID telah pun dilaksanakan di 28 buah lebuh raya dan baki dua lebuh raya iaitu Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan LPT2 dijangka akan dilaksanakan mulai penghujung bulan Jun 2022,” katanya.