Peneroka ambil inisiatif jaga ladang elak isu kecurian BTS

Iklan
Peneroka Felda mengambil pelbagai inisiatif dalam menangani masalah kecurian BTS di ladang mereka. (Gambar kecil: Mohd Hafizan Umar, Roselan Alias)

TEMERLOH - Isu kecurian buah sawit di rancangan Felda kian menjadi-jadi berikutan harga komoditi itu yang terus melonjak di pasaran ketika ini.

Situasi itu menyebabkan peneroka di negeri ini mengambil inisiatif sendiri bagi menangani masalah kecurian buah tandan segar (BTS) daripada terus menghantui mereka.

Iklan
Iklan

Bagi peneroka Felda Jengka 24, Zulmi Abd Rahman, 58, berkata, dia terpaksa mengorbankan kenderaan miliknya untuk diletakkan di dalam kawasan ladang bertujuan mengaburi mata pencuri.

"Itu antara usaha yang saya buat dan ia dilihat berkesan kerana tiada kes kecurian melibatkan BTS berlaku buat masa ini.

Iklan

"Bagaimanapun kami (peneroka) sudah muak dengan situasi ini dan ada segelintir sudah nekad untuk ambil tindakan sendiri jika terjumpa mereka yang sedang mencuri," akuinya.

Dalam pada itu, Ketua Peneroka Felda Kemasul di Bentong, Roselan Alias, 65, mengakui dia kerap menerima aduan daripada peneroka mengenai kes kecurian BTS di ladang masing-masing.

Iklan

Menurutnya, bagi menangani masalah itu beberapa pendekatan telah dilakukan termasuk mengadakan pemantauan dan rondaan di kawasan terbabit.

"Seperti di Felda Kemasul, setiap blok ada pemantau untuk ladang-ladang terlibat termasuk rondaan turut dilakukan selain memasang pagar bagi mengelakkan individu tidak berkenaan memasuki kawasan ladang," jelasnya.

Perkara sama turut diakui Ketua Peneroka Felda Kampung Awah, Mazlan Abdull Rahman, 54, yang mendakwa kes kecurian juga dilaporkan sering berlaku ketika solat Jumaat.

"Golongan ini ambil kesempatan ketika waktu solat Jumaat untuk mencuri buah sawit.

"Jadi selain buat pintu pagar, rondaan secara berkala turut dilakukan di kawasan ladang bagi menangani masalah kecurian BTS ini," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Sungai Retang di Jerantut, Mohd Hafizan Umar, 44, memberitahu, sikap 'kita jaga kita' turut menjadi asas peneroka di penempatan itu untuk mengelakkan isu kecurian BTS ini daripada terus berlaku.

Katanya, peneroka saling memantau kawasan ladang-ladang mereka sambil menyifatkan tindakan itu turut memainkan peranan penting dalam menangani permasalahan yang berlaku ketika ini.