MUAR - Amalan rasuah diumpamakan seperti 'bom jangka' yang berdetik secara perlahan-lahan sebelum bertindak membinasakan keseluruhan komuniti sesebuah negara.
Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Masyarakat Prihatin Muar (Prihatin), Lokman Md Sarip berkata, kesan perbuatan rasuah sangat mendalam sehingga berupaya membinasakan maruah bangsa Malaysia yang terkenal dengan sifat terpuji sekian lama.
Katanya, rasuah memusnahkan apa yang telah dibina selama ini termasuk maruah Malaysia yang terkenal sebagai negara Islam lantang bersuara di peringkat antarabangsa.
"Budaya dan sikap terpuji bangsa Malaysia akan tercemar hanya kerana isu rasuah yang semakin membarah di negara ini.
"Jika tiada usaha memerangi amalan buruk rasuah ini, pastinya negara akan menjadi porak peranda dan menuju kehancuran.
"Apakah ini yang kita mahukan? Pastinya tidak. Maka kita perlu bangkit dan menolak budaya rasuah sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program singgah santun Konvoi #RasuahBusters di Pesta Open Air Stall, dekat sini.
Mengulas lanjut, Lokman berkata, masyarakat perlu memberi isyarat jelas kepada barisan kepimpinan tertinggi negara untuk mengatasi isu rasuah bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
Menurutnya lagi, selain memberi mesej kepada barisan kepimpinan negara, orang ramai juga perlu menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membebaskan Malaysia daripada budaya rasuah.
"Kami di Prihatin menolak sepenuhnya perbuatan rasuah. Mari kita sama-sama menyampaikan mesej kepada masyarakat untuk membenci rasuah.
"Tunjukkan yang kita semua mahukan negara bebas daripada rasuah, pemimpin yang bersih dan berintegriti.
"Selain itu, kita sebagai masyarakat Malaysia yang prihatin berusaha membantu menjayakan segala gerakan NGO yang mahu memerangi rasuah.
"Apa yang dilakukan oleh pasukan Rasuah Busters bersama rakan gabungannya perlu disokong penuh terutama menyampaikan mesej antirasuah kepada orang ramai," katanya.
Tegasnya lagi, sekiranya isu rasuah tidak ditangani sebaiknya dengan segera, maka bersedialah untuk menerima kesan terburuk yang akan menimpa negara.
Jelasnya, masyarakat perlu menolak segala bentuk rasuah sama ada dalam jumlah yang kecil mahupun besar.
"Kerana rasuah, kita akan rosak segalanya. Hilang maruah diri, ekonomi negara musnah, rakyat sengsara dan seribu satu masalah akan timbul.
"Pastinya kita tidak mahu menjadi masyarakat yang terbangsat kerana perbuatan rasuah.
"Marilah kita sama-sama memerangi amalan rasuah dan katakan tidak kepada budaya jijik ini," katanya.