Pertunjukan demonstrasi dinamik TDM sempena Hari Tentera Darat ke-89

Iklan
Zamrose (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada anggota dari pelbagai formasi ATM pada sambutan Hari Tentera Darat ke-89 di Kem Segenting, Port Dickson pada Selasa. - Foto Bernama

PORT DICKSON - Kem Segenting di sini pada Selasa digegarkan dengan bunyi dentuman tembakan dan bom serta diliputi kepulan asap yang ditampilkan dalam segmen demonstrasi dinamik, sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-89.

Umpama berada di medan perang, situasi sedemikian melibatkan penyertaan 951 pegawai dan anggota, disokong oleh 72 buah aset dan persenjataan, diperlihatkan sambutan yang bertemakan ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’ kali ini.

Iklan
Iklan

Segmen demonstrasi dinamik dimeriahkan dengan kehadiran kenderaan termasuk kereta kebal PT91M Pendekar, Lipan Bara, Kenderaan Perisai 8x8 Gempita dan Kenderaan Berperisai Berantai Adnan.

Aksi berkenaan dilaksanakan secara fizikal mengikut prosedur operasi standard (SOP) tanpa kehadiran penonton awam itu berlangsung selama sejam bermula jam 9 pagi, disaksikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral, Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

Iklan

Tutut ditampilkan adalah acara Perbarisan Tempur yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Din Izuan Mahar Afandi, melibatkan lapan detasemen yang terdiri daripada Detasemen Tempur, 10 Briged (Para), 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Bantuan Tempur dan Kontinjen Wanita.

Ruang udara turut menyaksikan pertunjukan pesawat seperti tiga helikopter LOHA109 Agusta yang membawa bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat Malaysia (TDM), dan Jalur Gemilang.

Iklan

Secara keseluruhan seramai 2,500 pegawai dan anggota TDM terlibat dalam sambutan penuh bersemangat itu.

Zamrose menyifatkan demonstrasi dinamik yang dipertontonkan itu merupakan manifestasi tentera darat terhadap kerajaan dan rakyat, yang menyerlahkan betapa anggota TDM sentiasa bersiap sedia dan berupaya melaksanakan tugasan serta misi diamanahkan.

Beliau turut menghargai pengiktirafan dan pujian daripada rakyat dalam negara dan masyarakat di luar negara mengenai kejayaan anggota TDM sepanjang 89 tahun ini.

Zamrose ketika memeriksa Kawalan Kehormatan Utama pada sambutan Hari Tentera Darat ke-89 di Kem Segenting, Port Dickson pada Selasa. - Foto Bernama

"Sepanjang tempoh kewujudannya, tentera darat telah menempa pelbagai kejayaan antaranya menamatkan pemberontakan komunis, mematahkan konfrontasi oleh negara jiran, memainkan peranan signifikan sebagai pengaman di negara bergolak dan mengagalkan pencerobohan oleh anasir pengganas dari luar negara," katanya.

Zamrose berkata, antara cabaran yang mungkin dihadapi adalah ketidakstabilan persekitaran geopolitik dunia serta ancaman wabak penyakit berbahaya Covid-19 yang masih belum menampakkan pengakhirannya.

"Walaupun cabaran ini bersifat 'intangible' dan berada di luar daripada kawalan kita, namun itu tidak bermakna kita tidak perlu melakukan sebarang persiapan untuk menghadapi cabaran," katanya.

Justeru beliau menyeru kepada semua peringkat kepimpinan untuk sentiasa mempersiapkan anggota masing-masing dengan melaksanakan latihan yang berkesan, menerapkan kemahiran khusus serta meneguhkan aspek kerohanian dan jati diri anggota untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, TDM turut berperanan dalam membantu rakyat terkesan akibat bencana alam termasuk banjir, tanah runtuh, penularan wabak Covid-19 di samping membantu masyarakat awam melalui penganjuran program jiwa murni yang telah dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun lepas. - Bernama