Kerajaan peruntuk lebih RM150 juta pulihkan ladang THP

Iklan
Ahmad Marzuk - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Lebih RM150 juta diperuntukkan kerajaan melalui pelan pemulihan untuk meningkatkan pengeluaran hasil ladang milik TH Plantation Berhad (THP) yang terbiar ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, peruntukan tersebut meliputi kos membaja dan memulihkan bagi menghasilkan pulangan yang optimum kepada anak syarikat milik Lembaga Tabung Haji (TH) itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, hasil usaha yang dilakukan itu juga, THP telah mencatatkan hasil jualan lebih separuh kali ganda pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.

"Sebagai perbandingan yang jelas, saya hendak sebutkan di dewan yang mulia ini hasil jualan THP telah meningkat kepada RM760.8 juta pada 2021 daripada RM493.65 juta pada 2019 selepas kita mengambil alih pentadbiran (kerajaan).

Iklan

"Kita turut meneliti semula penjualan yang dicadangkan dengan jumlah yang besar (oleh kerajaan sebelum ini) dan sebahagian daripada penjualan yang belum dimuktamadkan telah kita batalkan.

"Selain itu, kita telah usahakan sendiri (ladang) di bawah THP dan terbukti dengan harga sawit hari ini ia sangat memberikan keuntungan dan pulangan yang banyak kepada TH,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) yang mahu tahu bagaimanakah prestasi semasa ladang-ladang di bawah THP dan adakah kerajaan masih berhasrat untuk meneruskan penjualan ladang besar-besaran yang diputuskan ketika kerajaan terdahulu.

Tambah Ahmad Marzuk, hasil keuntungan yang diperoleh THP itu juga akhirnya turut diagihkan kepada pendeposit.