SEGAMAT - Seorang warga emas ditemukan lemas di dalam kolam ikan miliknya di Jalan Kelompang, Kampung Kenawar, Pogoh di sini pada Selasa.
Mangsa, Liaw Guan@Liew Kuan Yik yang berusia 73 tahun dipercayai sedang memberi ikannya makan sebelum tergelincir ke dalam kolam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.57 pagi.
Iklan
Iklan
Susulan itu katanya, seramai 11 anggota, sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu utiliti Toyota Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.
"Semasa tiba mangsa sudah dikeluarkan dan berada di tepi kolam. Mangsa disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian.
"Bomba menggunakan 'stretcher' dan menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pemeriksaan menemukan dua plastik sisa makan selain motosikal mangsa di tepi kolam tersebut.
Katanya, operasi tersebut tamat pada jam 11.53 pagi.