Arifin lega bantu selamatkan lembu bernilai RM20,000 dari banjir

Iklan
Arifin membantu rakannya, Yusof memindahkan dua ekor lembu baka Charolais yang terperangkap selepas kandang haiwan ternakan itu ditenggelami banjir di Kampung Derdap, Bendang Pak Yong, Tumpat.

TUMPAT - Seorang penduduk Kampung Derdap, Bendang Pak Yong di sini lega dapat membantu rakannya memindahkan dua ekor lembu baka Charolais bernilai RM20,000 setiap seekor yang terperangkap selepas kandang haiwan ternakan itu ditenggelami banjir.

Arifin Awang Chik, 55, berkata, usaha menyelamatkan lembu tersebut menggunakan bot dilakukan sebaik sahaja menerima panggilan dari rakannya, Yusof Awang Kecik, 70, yang meminta bantuan.

Iklan
Iklan

"Tanpa berlengah saya terus bergerak ke kandang lembu tersebut dengan menaiki bot. Sebaik sampai, ibu dan anak lembu itu sudah ditenggelami air sedalam 0.5 meter.

"Selepas itu, saya bersama rakan menarik ibu lembu tersebut perlahan-lahan menggunakan perahu untuk dipindahkan ke tempat selamat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Yusof terpaksa memasukkan anak lembunya ke dalam guni untuk diselamatkan dengan menggunakan perahu.

Iklan

Menurutnya, anak lembu itu kemudian telah dimasukkan ke dalam guni dan diletakkan di dalam perahu.

Katanya, penat menyelamat lembu itu hilang sebaik sahaja haiwan berkenaan berjaya dipindahkan ke tempat selamat.

Iklan

Arifin atau lebih dikenali sebagai Che Su berkata, buat masa ini kedua-dua ekor lembu itu berada dalam keadaan stabil.

"Peringkat awalnya, pemilik lembu itu sudah berputus asa. Namun selepas berjaya diselamatkan, saya lihat dia kembali mengukir senyuman," katanya.

Che Su berkata, paras air banjir di Kampung Derdap semakin naik ekoran air Sungai Golok dari Rantau Panjang mulai melimpah dan memasuki kawasan rendah di Pengkalan Kubor.