TUMPAT - Meskipun cuti persekolahan kali ini sambut dalam keadaan banjir yang dianggap luar musim, namun segelintir kanak-kanak dilihat memanfaatkan peluang itu untuk mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang menggembirakan.
Bagi dua rakan baik, Nik Mohd Shahmi Nik Asni, 9, dan Mohd Al Hakim Sheri, 8, dari Kampung Jubakar Pantai mengakui lebih gemar menghabiskan masa dengan memancing di jeti nelayan berhampiran rumah mereka.
Nik Mohd Shahmi berkata, dia akan ke jeti berkenaan seawal jam 7 pagi untuk memancing dan sering kali ditemani rakan-rakannya yang lain.
Katanya, dengan hanya menggunakan sebatang kayu kering yang dijadikan 'pancing' tiruan, dia mampu menjinakkan ikan seperti siakap dan patin.
"Saya memang selalu 'lepak' kat sini sambil memancing. Kawasan jeti ini tenang, saya dan rakan-rakan memang akan memancing di sini. Kadang-kadang dapat, kadang-kadang balik tangan kosong.
"Tak kisah kalau tak dapat ikan pun, asalkan boleh memancing dengan kawan-kawan. Hilang sunyi di rumah tambahan sekarang musim cuti sekolah. Nak pergi tempat lain takut Covid-19 pula,"katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Sementara itu, Mohd Al Hakim berkata, sekiranya mereka berjaya mendapat ikan, ia akan dibawa pulang untuk di masak dan makan bersama kawan-kawan.
Namun katanya, jika ikan yang berjaya dipancing itu kecil, maka ia akan menjadi habuan buat kucing jalanan yang berada di kawasan jeti berkenaan.
"Kucing di sini pun gemuk-gemuk, sebab dapat makan ikan 'fresh'. Inilah mainan kami di waktu terluang. Biasalah, bila duduk dekat dengan pantai maka pantai lah yang menjadi tempat kami bermain.
"Memang inilah tradisi kami kanak-kanak di sini. Abang saya pun dulu main di sini juga," katanya.