KUALA TERENGGANU – Jumlah mangsa banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak Jumaat lalu menunjukkan penurunan susulan cuaca baik di beberapa kawasan terutama di Kuala Terengganu.
Sehingga jam 4 petang Selasa, seramai 16,337 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dan jumlah itu berkurangan berbanding 17,742 orang pada jam 8 pagi.
Iklan
Iklan
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, semua mangsa melibatkan 4,226 keluarga ditempatkan di 103 PPS yang dibuka di Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.
Menurutnya, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan paling ramai iaitu 8,734 orang melibatkan 2,209 keluarga dengan kesemua mereka ditempatkan di 29 PPS.
"Di Dungun, mangsa terjejas adalah seramai 3,106 orang diikuti Hulu Terengganu (2,626 orang), Kuala Nerus (534 orang), Kuala Terengganu (498 orang), Besut (431 orang) dan Setiu (403 orang).
"Selain itu, terdapat sebuah keluarga melibatkan lima mangsa masih berada di sebuah PPS di Marang.
"Dari segi keadaan cuaca pula, setakat ini semua daerah di Terengganu tiada hujan dan kita mengharapkan ia akan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.