LAHAD DATU - Seorang kanak-kanak lelaki maut, apabila tiga kenderaan termasuk sebuah lori tujuh tan, sebuah bas express dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, terlibat dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Lahad Datu-Sandakan, semalam.
Dalam kejadian 3.45 petang itu, mangsa berumur 19 bulan yang merupakan penumpang kenderaan pacuan empat roda itu, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata ketika kejadian, lori yang dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Lahad Datu, dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke jalan bertentangan sebelum kenderaan pacuan empat roda dari arah Lahad Datu yang tidak sempat mengelak, melanggar bahagian tepi belakang sebelah kanan lori tersebut.
"Kemalangan ini menyebabkan kenderaan itu berpusing ke jalan bertentangan, sebelum sebuah bas yang membawa 12 penumpang dari arah Sandakan, merempuh bahagian belakang kenderaan tersebut.
"Akibat rempuhan itu, kanak-kanak lelaki yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu tersepit di dalam kenderaan itu sebelum berjaya dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Nasri berkata, kanak-kanak itu kemudiannya dilaporkan meninggal dunia.
Menurutnya, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang turut berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu mengalami cedera ringan, manakala pemandu lori; pemandu dan 12 penumpang bas; serta dua lagi dalam kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami kecederaan. - Bernama