KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kembali mencatat keuntungan dengan keuntungan bersih sebanyak RM48.6 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (tahun kewangan 2021) berbanding kerugian bersih sebanyak RM21.0 bilion pada tahun sebelumnya.
Menurut syarikat minyak nasional itu, pendapatan lebih tinggi dicatatkan pada tahun tersebut berikutan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih baik serta kerugian susut nilai yang rendah pada tahun kewangan 2021 susulan harga minyak pada aliran meningkat tetapi sebahagiannya diimbangi oleh cukai yang lebih tinggi.
Iklan
Iklan
Petronas mencatatkan perolehan sebanyak RM248.0 bilion pada tahun kewangan 2021 berbanding RM178.75 bilion pada tahun sebelumnya terutamanya berikutan impak harga yang menggalakkan untuk produk utama sejajar dengan purata harga realisasi yang lebih tinggi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas kekal berdaya tahan selepas dua tahun menghadapi gangguan melampau terhadap ekosistem tenaga, menempatkan kumpulan pada kedudukan lebih baik untuk memanfaatkan pemulihan pasaran.
"Dengan pelancaran entiti baharu kami pada pertengahan 2022 dan penubuhan Unit Pengurusan Karbon kami, Petronas dijangka berkembang menjadi superstore tenaga yang akan menyediakan pelanggan dengan rangkaian tenaga dan penyelesaian yang menggerakkan perniagaan dan memacu kemajuan melalui kaedah yang adil dan mampan,” katanya. - Bernama