BN tawar lima teras utama manifesto PRN Johor

Iklan
Hasni (dua dari kiri) bersama Mohamad (tiga dari kiri) menunjukkan lima teras utama yang ingin ditawarkan BN jika memenangi PRN Johor di Pejabat UMNO pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) menawarkan lima teras utama sebagai manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menampilkan 43 inisiatif bagi menjamin kesejahteraan dan kestabilan negeri.

Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, kelima-lima teras dinyatakan itu juga sebagai Ikhtiar BN Johor untuk mencapai matlamat utama parti bagi menjadikan Johor sebagai negeri yang didokong naratif politik baharu dan stabil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tawaran yang ingin dibawa itu juga telah direncana dengan baik dan bersifat realistik agar ia tidak menjadi janji kosong yang tidak dapat dilaksanakan BN sekiranya membentuk kerajaan pasca PRN Johor.

"Ikhtiar Barisan Nasional Johor terdiri daripada lima ikhtiar yang merangkumi Ikhtiar Kemajuan Ekonomi, Ikhtiar Kesejahteraan Rakyat, Ikhtiar Orang Muda Johor (OMJ), Ikhtiar Membudayakan Pentadbiran Berintegriti dan Ikhtiar Reformasi Politik.

Iklan

"Ini adalah usaha dalam masa lima tahun untuk mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan pelaburan negara," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan lima teras utama manifesto BN bagi PRN Johor pada Majlis Pelancaran Ikhtiar BN Johor di Pejabat UMNO Johor di sini, pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menerusi lima teras yang ditawarkan BN itu, Hasni berkata, ikhtiar yang akan dilaksanakan terlebih dahulu adalah kemajuan ekonomi yang mana ia dilihat telah banyak tergendala akibat ketidakstabilan politik negeri dan pandemik Covid-19.

"Kemajuan ekonomi ini kita simpulkan di bawah program Johor Berdaya Saing, melibatkan sembilan inisiatif merangkumi pembangunan dalam bentuk fasilitasi pelaburan dan mengenal pasti kekuatan ekonomi di setiap daerah di negeri ini.

"Ketika pandemik Covid-19, industri kecil dan sederhana antara yang terkesan dan kita maklum bahawa golongan ini memang memerlukan tujahan dana untuk kembali stabil.

"Justeru, melalui inisiatif Johor Niaga kita telah bekerjasama bersama Bank Rakyat untuk membenarkan pengusaha yang layak membuat pinjaman sehingga RM100,000 tanpa sebarang faedah," katanya.

Sementara itu, Hasni yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut (Parlimen Pontian) memberitahu, kerangka utama manifesto ditawarkan BN itu juga akan melibatkan pemberian bantuan kewangan kepada golongan bersasar dan meningkatkan keupayaan infrastruktur awam.

Beliau berkata, bagi agenda Ikhtiar Reformasi Politik pula, kerajaan BN yang akan ditubuhkan itu juga akan meneruskan peruntukan tahunan RM200,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bagi memastikan rakyat di kawasan mereka turut dibela dan tidak dipinggirkan.

"Setiap ADUN di Johor juga akan diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.