SHAH ALAM - Tujuan Parti Warisan (Warisan) mencalonkan beberapa tokoh di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah untuk memberikan pilihan kepada rakyat, bukan untuk mengelirukan atau memecahkan undi.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, parti tersebut memberi pilihan naratif baharu, khususnya dengan keadaan landskap politik yang sangat dinamik pada masa ini.
Beliau mendakwa, rakyat Malaysia hari ini rata-rata amat kecewa terhadap kerajaan Barisan Nasional, Perikatan Nasional, mahupun Pakatan Harapan.
"Rakyat sudah mula bosan dengan senario politik yang berlaku dan negara Malaysia perlukan kestabilan, sama ada dan segi kerajaan yang mentadbir ataupun dari segi kekuatan ekonomi.
"Dengan penglibatan Warisan di PRN Johor pada kali ini, rakyat sebenarnya diberikan peluang untuk membuat pilihan lain lebih baik di dalam pilihan raya. Kita harus berlaku adil.
"Kita perlu memberikan pilihan kepada rakyat. Pilihan untuk memilih parti mendengar yang memperjuangkan perpaduan dan boleh membuat perubahan demi kelangsungan kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, jelasnya, kebanyakan parti di Malaysia sudah runcing kesepaduan, pecah belah, pergaduhan dan perebutan dalam parti semakin parah.
"Pakatan dan perikatan yang mereka cuba pertahankan sekarang kucar-kacir dan telah mencapai kebuntuan.
"Saya rasa sudah sampai masa dan ketika, di mana rakyat sepatutnya diberikan peluang untuk membuat pilihan yang lebih baik,” jelasnya.
Beliau berkata, kesejahteraan dan kelestarian rakyat harus menjadi keutamaan parti-parti yang bertanding bagi memastikan kestabilan ekonomi untuk rakyat dapat dicapai.