Simbah cat rumah pemandu lori, tiga diberkas

Iklan
Antara barangan serta peralatan yang dirampas ketika tangkapan ke atas tiga suspek yang menyimbah cat di rumah seorang pemandu lori.

KUALA LUMPUR - Polis memberkas tiga lelaki yang dipercayai menyimbah cat di kediaman seorang pemandu lori di sebuah kondominium di Kepong pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, kesemua mereka merupakan lelaki warga tempatan berumur antara 34 tahun hingga 46 tahun.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ketika serbuan, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

"Siasatan awal mendapati tiga suspek itu turut terlibat dalam dua kes lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Polis sebelum itu menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa diugut ah long dengan menyimbah cat berwarna merah pada pintu hadapan rumahnya kerana lewat membuat pembayaran semula pinjaman ah long.

Antara barangan serta peralatan yang dirampas ketika tangkapan ke atas tiga suspek yang dipercayai terlibat menyimbah cat di rumah milik seorang peminjam ah long pada Ahad.

Mahidisham memberitahu, mangsa dikatakan membuat pinjaman sebanyak RM30,000 melalui Facebook.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 dan disiasat bersama Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana telah membuat ugutan terhadap peminjam," katanya

Beliau turut menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang di media sosial.

"Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599, whatsapp ke CCID Infoline di talian 013-2111 222, semakmule.rmp.gov.my atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.