SANDAKAN - Seorang pekerja ladang maut selepas kenderaan yang dipandunya terjunam ke dasar sungai dalam kejadian di Sungai Memanjang, di sini, pada Selasa.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Kahar hanya ditemui pada jam 4.40 petang selepas lebih dua jam terperangkap dalam kenderaan terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.17 petang.
Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak 33 kilometer dari BBP Beluran.
"Kejadian melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga Iswara yang terjatuh ke dalam sungai ketika melalui jalan di kawasan berkenaan.
"Menurut saksi, terdapat seorang mangsa terlibat semasa kejadian dan pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bertindak mengeluarkan dan menaikan kenderaan itu dari sungai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, usaha mengeluarkan kenderaan dilakukan dengan menggunakan peralatan tali menyelamat serta bantuan daripada jentera jenis jengkaut.
"Mangsa ditemui tidak sedarkan di dalam kenderaan dan jarak lokasi kira-kira 35 meter dari kenderaan itu jatuh ke dalam sungai.
"Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.50 petang," katanya.