KUALA LUMPUR - Strategi Kerjasama Kesatuan Eropah (EU) di Indo-Pasifik perlu menangani kebimbangan utama negara Asia Tenggara - kemakmuran ekonomi dan keselamatan - untuk menjamin kestabilan dan keamanan, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Menurut beliau, dalam beberapa tahun kebelakangan ini terdapat peningkatan aktiviti ketenteraan di perairan yang dipertikaikan, seperti di Laut China Selatan dan Laut China Timur, yang bertukar menjadi arena persaingan geopolitik antara kuasa-kuasa besar.
Beliau menegaskan kerjasama maritim dalam mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982, seperti yang ditekankan dalam Tinjauan ASEAN mengenai Indo-Pasifik, harus digalakkan dengan rakan kongsi Indo-Pasifik.
"Sebagai wilayah yang menjadi tuan rumah laluan perkapalan penting untuk perdagangan maritim dan bekalan tenaga global, Indo-Pasifik harus dikekalkan sebagai wilayah kerjasama, terhubung dan pembinaan komuniti, mematuhi undang-undang antarabangsa, terutamanya UNCLOS 1982," katanya.
Beliau berkata demikian pada persidangan Wilayah Indo-Pasifik Pelbagai Hala dan Inklusif: Strategi dan Peluang Eropah untuk Malaysia dan Asia Tenggara, yang dianjurkan secara maya oleh Institut Maritim Malaysia (MIMA) dengan kerjasama Kedutaan Perancis di Malaysia, pada Selasa.
Turut hadir Duta Besar Perancis ke Malaysia, Roland Galharague; Duta Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer; Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas dan Pengerusi MIMA, Datuk Mohamed Suffian Awang.
Dengan persaingan yang semakin meningkat antara kuasa besar di Indo-Pasifik, Ikmal Hisham berkata, negara-negara Asia Tenggara secara lebih mendalam mesti merencanakan hala tuju mereka dan secara aktif membentuk laluan ke hadapan yang adil untuk semua, sekali gus mengekalkan prinsip berkecuali dan kepaksian ASEAN.
Mengenai kerjasama Malaysia-EU, beliau berkata, kedua-dua pihak boleh melangkaui cabaran keselamatan maritim, menerusi penyelarasan dalam pembangunan mampan sumber marin, melindungi persekitaran marin, dan membangunkan hubungan maritim di bawah rangka kerja pelbagai hala seperti Forum Serantau ASEAN dan Mesyuarat Asia-Eropah.
"Mungkin juga mencari jalan untuk bekerjasama melalui mekanisme pertahanan dan ketenteraan serantau yang praktikal seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus, atau ADMM+," tambahnya.
Mengulas lanjut, Ikmal Hisham berkata, Asia Tenggara muncul menjadi wilayah yang pesat berkembang serta pusat pertumbuhan dan kemakmuran yang berjaya menarik minat negara luar.
Beliau berkata, negara yang lebih kecil di Asia Tenggara seperti Malaysia, boleh menggunakan kepakaran rakan kongsi Indo-Pasifik mereka untuk mengemudi ancaman keselamatan dan geopolitik kuasa besar yang lebih luas berlaku di rantau ini.
Sementara itu, Duta Besar Jerman ke Malaysia berkata, EU akan memperhebat dialognya dengan rakan kongsi mengenai keselamatan dan pertahanan, termasuk memerangi keganasan, keselamatan siber, kawalan senjata nuklear serta pelucutan senjata serta keselamatan angkasa dan maritim.
Selain itu, Blomeyer berkata EU akan menyokong usaha rakan kongsi Indo-Pasifiknya untuk membangunkan kapasiti pengaman mereka sendiri.
"Saya harus menambah bahawa perkara penting bagi kita semua ialah menghormati kepaksian ASEAN yang akan memimpin penglibatan kita di rantau ini," katanya. - Bernama