MINGGU lalu, Merak Jalanan sekeluarga termasuk seorang anak berusia bawah empat tahun singgah menjamu selera di salah sebuah restoran nasi kandar di Puncak Alam, Selangor.
Disebabkan meja hampir penuh, Merak Jalanan tiada pilihan, selain terpaksa duduk di penjuru restoran berhampiran sekelompok anak muda.
Namun, perkara paling menyedihkan berlaku apabila kumpulan anak muda tersebut tidak menjaga pertuturan sehingga mengeluarkan kata-kata kesat dan lawak berbaur lucah ketika bersembang.
Ia menimbulkan suasana kurang menyenangkan kerana anak Merak Jalanan yang masih dalam proses mengenal dunia sudah disajikan dengan frasa kurang enak dan kata-kata makian walaupun kami bukanlah subjek yang disasarkan.
Lebih parah, mereka mula menghisap rokok meskipun papan tanda larangan merokok terpampang di depan muka. Perbuatan mereka mendapat teguran daripada seorang pelanggan, namun ia mencetuskan ketegangan apabila kumpulan anak muda terbabit mula mengherdik dan menengking individu tersebut.
Susulan drama sebabak itu, Merak Jalanan membatalkan pesanan dan keluar dari restoran. Pelbagai persoalan berlegar-legar di minda Merak Jalanan.
Apakah pengusaha restoran tidak tegas atau pelanggan sudah besar kepala atau papan tanda larangan merokok sekadar hiasan semata-mata. Yang pasti, lagak samseng segelintir pelanggan yang degil menjadi punca pengurusan restoran dipersalahkan setiap kali operasi penguatkuasaan dilaksanakan.
Menerusi pemerhatian Merak Jalanan, ada segelintir pengurusan restoran sekadar mendiamkan diri apabila melihat pelanggan menghisap rokok di dalam premis mereka. Serik membuat teguran, mahu menjaga hati pelanggan atau sudah tidak kisah premis mereka ‘berasap’, hanya mereka yang mengetahui jawapannya.
Tindakan pengusaha restoran sebeginilah yang menguatkan tanggapan bahawa papan tanda larangan merokok hanya sekadar hiasan.