MUAR - Pengundi di utara Johor berbelah bahagi mengenai kemampuan parti-parti lain khususnya Barisan Nasional (BN) menggugat pengaruh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin di kawasan terbabit.
Kawasan-kawasan itu antaranya seperti Muar, Ayer Hitam, Pagoh dan Tangkak.
Pesara kerajaan, Muis Kupar, 65, berpandangan bahawa sukar parti-parti lain seperti BN untuk menggugat pengaruh Ahli Parlimen Pagoh itu di bahagian utara Johor.
"Pengaruhnya masih lagi kuat. Sebab dia sudah lama bertapak di kawasan Pagoh dan Muar. Ayahnya juga ada sekolah di Muar.
"Orang di sini mengenalinya dan ayahnya. Isterinya juga orang Muar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.
Muis menambah, rata-rata golongan yang berusia sepertinya amat mengenali Muhyiddin.
"Tapi tak tahu golongan muda. Kalau orang berumur, memang dia sudah dikenali,” ujarnya.
Nelayan, Ahmad Daud Mohd Po’ad, 56, juga mengakui pengaruh Muhyiddin amat kuat di Johor.
Katanya, ini ditambah lagi dengan pelbagai pengumuman bantuan mengenai Covid-19 yang diberikan oleh Muhyiddin semasa menjawat jawatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun dakwanya, di sebalik pelbagai bantuan itu, kepimpinan yang ditunjukkan oleh Muhyiddin tidak memuaskan dan ia menyebabkan pengundi di sini berbelah bahagi sama ada untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).
"Memang berbelah bahagi. Orang kita ini memang cepat berubah. Baik daripada bawah sampailah ke atas (peringkat pemimpin),” katanya.
Pemandu teksi, Said Talib, 73, turut mengakui Muhyiddin banyak memberikan pelbagai bantuan kepada orang ramai semasa menjadi Perdana Menteri.
"Muhyiddin bagus juga. Ada bantuan. Dia juga mengambil berat penduduk dan pemandu teksi di sini,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia melihat bahawa pemerintahan PN dan Pakatan Harapan (PH) tidak memuaskan berbanding BN.