SUHAIZAN Kaiat bukan nama asing dalam arena politik. Speaker Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor ini yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor adalah calon PRN Johor di DUN Pulai Sebatang.
Ia merupakan percubaan Suhaizan kali keenam untuk bergelar 'Yang Berhormat'.
Apa perasaan bila Amanah letakkan tuan sebagai calon di Pulai Sebatang?
Sebelum ini saya pernah bertanding di DUN Parit Sulong pada PRU 2004, diikuti DUN Kempas pada tahun 2008 dan 2013, kemudiannya Parlimen Simpang Renggam pada tahun 2013 dan DUN Kukup pada tahun 2018.Saya bersyukur kerana diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan partu untuk bertanding di kerusi DUN Pulai Sebatang bagi menggantikan penyandang kerusi ini Muhammad Taqiuddin Cheman yang bertanding di DUN Mahkota, Kluang pada PRN Johor kali ini.
Pandangan tuan mengenai kerusi DUN Pulai Sebatang?
Kebanyakan penduduk di sini majoritinya masyarakat Melayu. Aktiviti ekonominya tertumpu kepada pertanian, perikanan dan sektor pembuatan perkilangan. Kerusi DUN di sini pernah dimenangi Taqiuddin pada 2018. Saya bersedia memikul tanggungjawab untuk pertahankan kerusi ini.
Adakah pengalaman sebagai Speaker DUN bantu kempen?
Saya dilantik sebagai Speaker DUN selepas Pakatan Harapan ( PH) menang Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) dan kekal sehinggalah DUN dibubarkan pada 22 Januari lalu. Pengalaman sebagai Speaker DUN cukup berguna kepada saya untuk dijadikan panduan mendekati pengundi di sini. Jika DUN jadi tempat berbincang selesai masalah di peringkat negeri, di kawasan juga pendekatan sama digunakan.
Apakah strategi kempen tuan pada PRN Johor?
Pastinya strategi kempen perlu fleksibel dan sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Justeru saya lebih menumpukan kepada penggunaan sosial untuk berkempen. Memandangkan 60 peratus pengundi tinggal di kawasan bandar tiada masalah untuk menjalankan kempen menggunakan media sosial.Manakala bagi kawasan di kampung yang terhad pencapaian internet, saya akan cuba bertemu penduduk menerusi program turun padang.
Apakah isu utama dapat dilihat di DUN Pulai Sebatang?
Naiktaraf Hospital Pontian antara diharapkan penduduk. Pertambahan penduduk di kawasan DUN Pulai Sebatang menyaksikan kemudahan hospital antara yang perlu diberikan perhatian. Selain itu peluang pekerjaan anak muda perlu ditingkatkan melalui bidang keusahawanan, pertanian,pelancongan dan perikanan.
Harapan tuan pada PRN Johor kali ini?
Sudah tentu saya mahu menang di Pulai Sebatang walaupun ini merupakan percubaan yang yang ke enam bertanding pada pilihan raya.
Saya berminat untuk bantu masyarakat, kerana itu apabila ada ruang di DUN mahupun Parlimen saya mencuba bertanding pada pilihan raya sejak berusia 31 tahun.
BIODATA
Nama: Suhaizan Kaiat
Umur: 49 tahun
Pendidikan: Sarjana Sains Komputer UTM
Jawatan:
*Speaker DUN
*Bekas Setiausaha Organisasi Amanah Nasional
*Bekas Pensyarah UTM
*Bekas Ketua Pemuda Pas Pusat