TOPIK berkaitan rasuah dan juga skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi perbualan dan isu hangat untuk dikupas pelbagai pihak.
Pelbagai reaksi meluahkan rasa kegembiraan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa beliau tidak akan melindungi sesiapa termasuk golongan kenamaan sekiranya terlibat dalam rasuah.
Katanya, individu yang terlibat dalam jenayah itu perlu bertanggungjawab dan hanya mahkamah akan menjadi tempat penentu sama ada mereka bersalah atau sebaliknya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, dakwaan sesetengah pihak kerajaan melindungi individu tertentu dan hanya mengambil tindakan terhadap individu tertentu juga tidak benar sama sekali.
Tegasnya, kerajaan di bawah pimpinannya tidak mengambilkan sikap atau perkara sedemikian, sebaliknya memandang serius terhadap sebarang kes membabitkan rasuah.
Dalam hari yang sama, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki juga ada melakukan satu sidang akhbar yang mengaitkan isu rasuah dan juga skandal 1MDB.
Jelasnya, Sarawak bukan ‘juara’ di dalam kes-kes melibatkan rasuah, malah ia patut berbangga kerana tiada kes-kes besar berkaitan rasuah dilaporkan berlaku.
Berdasarkan rekod pihaknya, trend rasuah di Sarawak dilihat tidak meningkat, dan ia lebih stabil.
Bagaimanapun beliau mencadangkan kerajaan Sarawak memberi penekanan kepada kes-kes yang melibatkan tuntutan palsu dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam, yang boleh mendatangkan kerugian sekiranya terus dibiarkan berlaku.
SPRM turut mengesahkan telah membekukan aset Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah firma Malaysia, Datuk Rohana Rozhan di dalam dan luar negara termasuk rumah miliknya di London serta sejumlah aset lain.
Azam Baki berkata, susulan itu pihaknya akan memanggil lebih ramai individu bagi membantu siasatan dakwaan rasuah melibatkan Rohana.
Bagaimanapun Azam tidak menyatakan sama ada pihaknya akan mengambil keterangan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner.
Dalam sidang akhbar yang sama, Azam Baki menjelaskan, SPRM tidak menyiasat suami kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz iaitu Datuk Dr Tawfiq Ayman berhubung dakwaan berkaitan skandal 1MDB.
Tambah beliau, badan pencegahan rasuah itu hanya diberi tanggungjawab untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari Singapura.
Bagaimanapun, beliau mengambil maklum bahawa Tawfiq dalam siasatan polis.
Dalam perkembangan lain, SPRM mengesan sindiket melombong bitcoin yang menawarkan suapan antara RM3,000 hingga RM300,000 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tindakan penguatkuasaan tidak diambil terhadap mereka.
Jelas Azam, pengusaha bitcoin akan berunding dengan pegawai TNB semasa operasi dijalankan dan pembayaran rasuah itu dilakukan menerusi bayaran secara tunai atau menggunakan ‘crypto currency’ secara bulanan.