PSM perlu patuhi tempoh 72 jam

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada 28 Februari lalu. (Gambar kanan: Abdul Halim)

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) perlu mematuhi tempoh 72 jam yang diperuntukan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), bagi menyelesaikan hutang tertunggak berjumlah AS$15,000 (RM62,779.50) kepada badan induk sepak takraw Asia berkenaan.

Menurut Presiden ASTAF, Datuk Halim Kader, kegagalan PSM berbuat demikian akan menyaksikan badan induk sepak takraw negara itu berdepan tindakan yang akan diumumkan kemudian.

Iklan
Iklan

"Kami di ASTAF memang sentiasa menerima dan mempertimbangkan apa sahaja permintaan, rayuan, tetapi setelah berbulan-bulan kita berikan peluang kepada PSM, mereka hanya bersikap endah tak endah dalam perkara ini malah ada pula ‘suara-suara’ yang nak minta kurang RM10,000 ada kata RM5,000 dan ada yang kata RM3,000.

"Apakah ini cara kita berpersatuan? Apakah ini caranya kita selesaikan masalah undang-undang apabila bercakap di tepi gelanggang sahaja? Maaflah, setakat ini saya tak dapat buat apa-apa kerana PSM pun tak buat apa-apa rayuan secara bertulis.

Iklan

"Kalau tak mampu bayar, buatlah rayuan kepada pihak-pihak tertentu atau jalankanlah derma kilat, saya percaya orang akan bantu mereka yang akan dapat sokongan peminat atau pemimpin daripada persatuan sepak takraw negeri, gabungan itu dapat membantu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Abdul Halim berkata demikian bagi mengulas surat balas daripada Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpipat kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh pada 28 Februari lalu berhubung permohonan PSM untuk kembali menjadi ahli ASTAF selepas keahlian mereka digugurkan pada 20 Mei tahun lalu.

Iklan

Bagaimanapun, PSM gagal membayar denda berjumlah RM62,779.50 kepada ASTAF di mana ia adalah bagi tujuan untuk menampung keseluruhan kos perbicaraan tatatertib dalam tempoh 14 hari sebagaimana yang telah dimaklumkan.

Justeru menurut surat balas berkenaan, PSM perlu menyelesaikan bayaran denda berkenaan dalam tempoh 72 jam atau selewat-lewatnya sebelum jam 5 petang (waktu Bangkok) pada 3 Mac ini.

Sementara itu, Abdul Halim turut menyelar tindakan PSM yang menghantar dokumen Perlembagaan dalam bahasa Melayu kepada pejabat ASTAF di Bangkok.

Katanya, tindakan sedemikian amat memalukan dan ia sekali gus menyerlahkan kelemahan pentadbiran PSM ketika ini.

"Kenapa PSM hantar dokumen Perlembagaan dalam bahasa Melayu kepada mereka? Apakah mereka di Bangkok faham bahasa Melayu? Masuk akal ke tidak?” katanya.