1,000 penempatan anggota bomba baharu bermula Julai

Iklan
Ismail Abd Muttalib

KUALA LUMPUR - Seramai 1,000 pelatih bomba dijangka tamat latihan Julai ini sekali gus akan ditempatkan di balai bomba seluruh negara.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, 1,000 pelatih pegawai bomba Gred KB19 melapor diri pada 7 Februari lalu di tiga Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) iaitu di Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Iklan
Iklan

"Pelatih ini dijangka menamatkan Kursus Asas Kebombaan pada Julai dan proses penempatan akan dilaksanakan di balai bomba yang terlibat di seluruh negara termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Yusuf Abd Wahad (GPS-Tanjong Manis) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Iklan

Yusuf ingin mengetahui sama ada jumlah aset dan anggota di BBP Tanjung Manis akan ditambah kerana sering terjadi insiden bot karam, kes serangan buaya dan kebakaran hutan di kawasan itu.

Mengulas lanjut Ismail berkata, BBP Tanjung Manis merupakan balai bomba kategori D yang mula beroperasi sejak 2018 dengan perjawatan seramai 28 anggota.

Iklan

Katanya, pada masa kini pengisian perjawatan adalah sejumlah 22 orang dan masih berbaki enam kekosongan yang hanya bersifat sementara.

Mengenai aset tambahan untuk BBP Tanjong Manis, Ismail berkata, balai itu telah dilengkapi dengan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Volunteer Fire Rescue Vehicle (VFRV), dua kenderaan utiliti dan sebuah bot penyelamat (aluminium).

"Buat masa ini, penyediaan jentera, kelengkapan dan peralatan bomba adalah mencukupi untuk BBP Tanjung Manis menangani sebarang kes yang membabitkan insiden kecemasan atau kebakaran termasuklah bot karam, kes serangan buaya dan kebakaran hutan.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat juga sedang dalam proses untuk memperolehi aset-aset yang baharu seperti bot penyelamat, jet ski, kenderaan pacuan empat roda, kenderaan angkut dan logistik serta lain-lain.

"Aset-aset baharu ini akan diagihkan ke balai bomba seluruh negara termasuklah BBP Tanjung Manis sekiranya keperluan adalah mendesak.

Sementara itu menjawab soalan tambahan daripada Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai insentif kepada bomba sukarela, Ismail menjelaskan, JBPM akan sentiasa prihatin dengan keperluan bomba sukarela dan melaksanakan pelbagai program bagi menaik taraf kecekapan dan latihan kepada anggota berkenaan.