KUALA LUMPUR - Program Transformasi Syarikat Senaraian Awam (PLC) oleh Bursa Malaysia dijangka dapat memangkin prestasi dan pertumbuhan PLC serta syarikat dalam lingkungan ekosistem masing-masing.
Ia juga dapat menyelaraskannya mereka dengan trend global terkini, permintaan pelabur dan jangkaan pihak berkepentingan, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Berteraskan pada lima buku panduan digital, Program Transformasi PLC akan memupuk PLC yang didorong oleh tujuan dan prestasi; membina rasa ketelusan yang lebih tinggi; menanam amalan kelestarian; dan meningkatkan pengurusan pihak berkepentingan dan hubungan pelabur.
Ia juga akan menggalakkan penggunaan digital serta memacu pembangunan bakat yang mantap untuk mengukuhkan pembinaan negara, katanya.
"Akhirnya, program itu akan meningkatkan prestasi korporat PLC Malaysia, sekali gus mewujudkan pasaran yang lebih menarik untuk pelabur domestik dan asing.
"Adalah penting daripada sebelumnya untuk memperkasakan PLC bagi meningkatkan daya saing pasaran mereka, supaya mereka dapat membantu mengembangkan dan mengekalkan minat pelabur dalam pasaran modal luar,” kata Tengku Zafrul ketika berucap merasmikan pelancaran program itu di sini, pada Rabu.
Beliau menambah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga boleh mendapat manfaat daripada buku panduan digital berkenaan.
"Justeru, saya menggalakkan komuniti PKS yang lebih luas untuk memanfaatkan sepenuhnya program dan sumber yang ada,” tambah menteri itu lagi.
Tengku Zafrul seterusnya berkata, program itu turut disokong oleh usaha berterusan kerajaan untuk mereformasi dan mengoptimumkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
"Memandangkan peranan mereka sebagai pemacu unik kepada pertumbuhan Malaysia dengan lebih RM445 bilion dalam aset di bawah pengurusan di Bursa Malaysia hari ini, usaha terus dijalankan untuk mempertajam fokus GLIC kita untuk mencatatkan kejayaan selanjutnya, khusus dalam membantu mereka menceburi sektor pertumbuhan baharu yang bernilai tinggi.
"Lambat-laun, bidang-bidang baharu ini juga akan membuka peluang yang lebih segar kepada PLC dan PKS untuk mengambil bahagian,” kata Tengku Zafrul. - Bernama