KUALA KRAI - Seorang pengusaha jagung di Kampung Temalir Lama di sini, hampir pengsan apabila melihat kawasan kebun yang diusahakannya digenangi air banjir sedalam lebih dua meter pada Jumaat lalu.
Idris Hassan, 65 memberitahu, hujan berterusan di daerah tersebut sejak Khamis lalu menenggelamkan tanamannya seluas 1.2 hektar tersebut akibat air limpahan Sungai Pahi.
Katanya, 5,000 batang jagung yang bernilai RM50,000 itu lenyap sekelip mata.
"Tanaman ini saya usahakan bersama adik-beradik. Dua kali hujan turun dan tenggelamkan jagung kami. Sepatutnya semua jagung itu boleh makan hasil bulan depan, tapi apakan daya, bukan rezeki kami," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Menurutnya, mereka mengusahakan tanaman jagung berkenaan dengan modal sendiri yang biasanya berdasarkan sistem modal pusingan untung.
Namun katanya, disebabkan banjir kali ini, dia hilang modal dan untung sekali gus memaksa mereka bertatih kembali untuk mencari modal lain.
"Saya memerlukan modal untuk memulakan semula tanaman ini sebab untung tiada, macam mana kami nak mula kembali. Memang saya amat memerlukan bantuan kerajaan.
"Sepatutnya saya boleh mendapat hasil jualan sebanyak RM10,000 selepas menuai, namun saya reda dan bersabar dengan ujian Allah ini. Semoga kami semua akan memperoleh rezeki yang lebih baik selepas ini,"katanya.
Idris memberitahu, dia telah mengusahakan kebun jagung itu sejak 20 tahun lalu dan kebiasaannya akan menanam anak benih jagung di antara bulan Mac atau April manakala hasilnya dapat dituai selepas dua bulan setengah.
Katanya, kali ini ia ditanam lebih awal namun apa yang berlaku tersebut adalah di luar kemampuan dan jangkaan manusia.