BAM pertaruh pemain remaja, pelapis ke Hanoi

Iklan
Kenny Goh (tengah) bercakap dalam sidang media mengenai persiapan menghadapi Sukan SEA Hanoi 2021 selepas hadir mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA dan penggulungan akhir di Wisma OCM, pada Rabu. Foto Bernama

SUKAN SEA Hanoi pada Mei menjadi landasan terbaik untuk barisan pemain muda badminton negara mencipta nama dengan membuktikan kemampuan menyerap tekanan ketika beraksi di pentas antarabangsa.

Ia selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan kombinasi pemain remaja dan pelapis akan dihantar membawa cabaran negara pada temasya dwitahunan itu yang dijadual bermula 12-23 Mei.

Iklan
Iklan

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, ketetapan itu dibuat memandangkan penganjuran Sukan SEA bertindih dengan kejohanan berprestij Piala Thomas dan Piala Uber yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand pada 8-15 Mei.

"Maka fokus kami sudah pastilah saingan Piala Thomas dan Uber tetapi Sukan SEA pun penting juga. Saya percaya pemain-pemain (dipilih ke Sukan SEA) ini mereka masih mampu memberikan yang terbaik," katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM, pada Rabu.

Iklan

Kenny berkata, kem badminton negara dibarisi 10 pemain lelaki dan 10 wanita yang diletakkan dalam kategori A dan mengambil bahagian dalam kesemua acara dipertandingkan.

Tanpa mendedahkan sasaran sebenar, Kenny berkata BAM mengharapkan kem badminton mampu membutirkan kilauan pingat selepas berjaya membawa pulang tiga emas pada edisi 2019 di Filipina.

Iklan

"Walaupun kita hantar pemain agak muda dan lebih kepada pendedahan, tapi macam saya katakan tadi kita akan berikan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky berkata, peluang meraih pingat dilihat cerah menerusi acara beregu campuran, beregu wanita selain dalam acara berpasukan lelaki.

Mengenai sasaran acara individu, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Wong Choong Hann berkata empat pemain yang diberikan kepercayaan iaitu Lim Chong King, Kok Jing Hong, Lee Shun Yang dan Justin Hoh diharap mampu menamatkan acara dengan menaiki podium.

"Dalam saingan wanita, kita membariskan Siti Nurshuhaini Azman, Loh Zhi Wei, Ong Xin Yee dan Siti Zulaikha Muhd ​​Azmi yang merupakan pemain berpotensi dari skuad remaja yang kita ingin berikan peluang pendedahan," kata Choong Hann.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara itu berkata barisan kejurulatihan berhasrat untuk menghantar barisan terkuat sekiranya tidak berlaku pertindihan kejohanan.

"Tapi ini tidak bermaksud mereka (dipilih ke Sukan SEA) tidak cukup kuat, kerana banyak negara pun buat macam ini. Kita juga percaya di sana ada peluang untuk mereka," katanya. - Bernama