PNSB terajui transformasi mercu tanda GLC Selangor

Iklan
Raja Ahmad Shahrir Iskandar (kiri), Amirudin (dua dari kiri) dan Ahmad Fadzli (kanan) menyampaikan replika cek hadiah kepada wakil AJC Planning Consultants Sdn Bhd ketika Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Reka Bentuk Cadangan Pembangunan Kompleks Kerajaan dan GLC Selangor serta Komponen Komersial di Dewan Plenary, SACC, Seksyen 14, Shah Alam pada Selasa.

SHAH ALAM - Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sentiasa proaktif dan peka untuk membangunkan sebuah kompleks mampan serta lestari bercirikan jaringan hijau yang bakal dibina di Seksyen 5, di sini.

Iklan
Iklan

Idea-idea pembinaan kompleks tersebut dihimpunkan menerusi Pertandingan Reka Bentuk Cadangan Pembangunan Kompleks Kerajaan dan GLC Selangor serta Komponen Komersial yang dianjurkan oleh pihak PNSB.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan kompleks bersepadu itu akan menempatkan jabatan kerajaan dan agensi kerajaan negeri serta komponen komersial di bawah satu bumbung.

Iklan

"Kompleks ini akan memudahkan urusan rasmi masyarakat dengan jabatan dan agensi kerajaan dalam masa singkat selain sistematik dan menjimatkan masa.

"Lokasinya yang strategik juga akan menjadi satu pembaharuan yang inovatif sekali gus melonjak status bandar Shah Alam ke arah lebih sistematik, terkini dan efisien," katanya ketika berucap semasa majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut di Dewan Plenary, Shah Alam Convention Centre (SACC), Seksyen 14 di sini pada Selasa.

Iklan

Amirudin ketika berucap ketika Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Reka Bentuk Cadangan Pembangunan Kompleks Kerajaan dan GLC Selangor serta Komponen Komersial di Dewan Plenary, SACC, Seksyen 14, Shah Alam pada Selasa.

Sementara itu, pertandingan tersebut dijuarai oleh syarikat AJC Planning Consultants Sdn Bhd yang menampilkan cadangan konsep 'State of Art' berinspirasikan kelopak bunga dan palet bagi konsep pembangunan Kompleks GLC Selangor serta Komponen Komersial yang bakal dibina Seksyen 5, di sini.

Selain itu, syarikat GDP Architects Sdn Bhd mendapat naib johan dalam pertandingan tersebut, diikuti peserta dari Fakulti Senibina Perancangan & Ukur (FSPU) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di tempat ketiga, manakala AY Architecture mendapat Hadiah Sebutan Honorari.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, kompleks yang bakal dibina itu bakal menjadi satu kebanggaan dan kemegahan pihaknya.

Ujarnya, PNSB akan mengutamakan kemudahan selesa, sejahtera, berdaya maju, berdaya saing dan bersepadu dalam pembinaan kompleks tersebut.

Selain Amirudin, majlis penyampaian hadiah tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Exco Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja Selangor, Ganabatirau Veraman dan Pegawai Pengurusan PNSB.