Lebih 1,000 nelayan Kuala Muda terjejas angkara pukat tunda

Iklan
Nelayan Kuala Muda terjejas pendapatan akibat pencerobohan pukat tunda.

SUNGAI PETANI - Lebih 1,000 nelayan di daerah Kuala Muda di sini memohon pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan bagi menghalang pencerobohan yang menjejaskan pendapatan mereka.

Iklan
Iklan

Nelayan, Amin Abdul Hamid, 43, berkata, penguatkuasaan perlu dikenakan lebih tegas ke atas mereka yang menggunakan pukat tunda, rawa sorong dan bubu naga secara haram sehingga menjejaskan nelayan dari pangkalan Teluk Nipah, Teluk Amboi, Pulau Sayak dan Tanjung Dawai.

Menurutnya, pencerobohan dikesan bermula sekitar jam 12 tengah malam hingga 6 pagi meliputi kawasan antara 100 meter hingga empat kilometer dari pesisiran pantai termasuklah di sekitar Pulau Bidan, Tanjung Jaga dan Singkir.

Iklan

Amin

"Kegiatan pencerobohan boleh menyebabkan kepupusan hidupan laut seperti benih ikan, udang, ketam dan lain-lain akibat penggunaan peralatan terlarang itu.

Iklan

"Ada nelayan yang hanya dapat RM40 setiap kali turun ke laut berbanding dulu sekitar RM200 setelah tangkapan hasil laut berkurangan," jelasnya.

Menurutnya, sekiranya kegiatan itu berlarutan, besar kemungkinan kebanyakan nelayan putus mata pencarian.

Bubu naga yang diharamkan penggunaan oleh Jabatan Perikanan akibat berisiko kepada sumber laut.

Dalam pada itu, katanya, terdapat nelayan yang menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit akibat alat tangkapan rosak dilanggar penceroboh.

Sementara itu, Mukhlis Mansor, 36, mendakwa, masalah itu sudah dilaporkan beberapa kali, namun ia masih berlaku.

Menurutnya, tindakan membanteras selain hukuman yang setimpal perlu dikenakan ke atas pelaku bagi mengekang perbuatan terbabit.

Mukhlis

Masalah itu turut mendapat perhatian Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menggesa kementerian berkaitan campur tangan bagi menyiasat perkara berkenaan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pencerobohan boleh menyebabkan kepupusan sumber, menggugat sektor perikanan dan memberi kesan terhadap ekonomi negara pada masa akan datang.

Menurutnya, aktiviti itu juga menyebabkan ribuan metrik tan benih ikan musnah setiap hari.

"Masalah yang disuarakan oleh nelayan di sini bukanlah isu baharu bagaimanapun keadaan ini masih berlarutan hingga kini," katanya.

Pelbagai jenis anak ikan mati akibat terperangkap oleh tindakan bot pukat tunda.

Beliau juga menggesa Jabatan Perikanan Kedah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bertanggungjawab membanteras aktiviti haram itu melalui Akta Perikanan 1985.

"CAP yang bersimpati dengan nelayan di sini turut memohon mana-mana pihak untuk menyalurkan bantuan atau pampasan yang setimpal kepada mereka yang terlibat dengan kerosakan alat tangkapan akibat dilanggar bot pukat tunda yang menceroboh Zon A perairan itu," katanya.