Sembilan individu diberkas terbabit judi sabung ayam

Iklan
Gambar hiasan

AMPANG - Seramai sembilan individu termasuk seorang wanita ditangkap kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pertaruhan sabung ayam di belakang sebuah rumah di Taman Keramat Permai di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua individu berusia 30-an hingga 50-an itu ditahan dalam serbuan pada jam 1.30 petang.

Iklan
Iklan

"Kita menahan lapan lelaki warga Indonesia dan seorang wanita warga tempatan. Hasil semakan mendapati kesemua suspek lelaki itu memiliki pasport tamat tempoh," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM990, lima ekor ayam jantan dan empat telefon bimbit pelbagai jenama.

Iklan
Iklan

"Kesemua suspek direman tiga hari sehingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(C ) Akta Imigresen 1959/63," katanya.