SHAH ALAM - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mencatat hasil jualan sebanyak RM 4,587,968.95 sejak Disember hingga Ahad lalu.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, PJKM dilaksana di Selangor sebanyak 94 kali itu turut memberikan manfaat kepada sejumlah 234,109 pengguna dalam tempoh sama.
Menurutnya, program prihatin pengguna dianjurkan sebagai inisiatif untuk bantu meringankan kos sara hidup rakyat Selangor yang menyasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan rendah.
"Program ini digerakkan secara kerjasama di antara KPDNHEP Selangor bersama agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
"Penglibatan pemain industri peruncitan utama di sekitar Selangor turut menyertai program ini sebagai tanda sokongan menjayakan inisiatif PJKM untuk menangani pergerakan harga barangan yang mencabar kepada pengguna di sini," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Muhamad Zikril berkata, program PJKM juga akan dilanjutkan sepanjang Mac ini pada setiap hari Sabtu dan Ahad di lokasi-lokasi strategik dan mudah diakses oleh kumpulan.
Katanya, orang ramai boleh merujuk senarai lokasi PJKM pada setiap Jumaat menerusi hantaran di Facebook KPDNHEP Selangor.
"PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.
"Antara barang yang dijual semasa program ini adalah ayam, telur ayam, ikan, sayur-sayuran, barangan kering seperti bawang, cili kering, gula, minyak masak, tepung gandum, beras, makanan dalam tin dan barangan proses.
"PJKM Selangor diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah," katanya.