Bekas kakitangan JPN didakwa 13 pertuduhan palsu dokumen

Iklan
Tertuduh (kanan) ketika hadir di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Seorang bekas pembantu pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengaku tidak bersalah terhadap 13 pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Rabu.

Tertuduh, Mohd Sofian Ishak, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Iklan
Iklan

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh antara 1 November 2012 hingga 4 Januari 2013 di pejabat JPN Kota Kinabalu telah memalsukan salinan buku rekod kesihatan ibu dan rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak milik seorang wanita serta kanak-kanak untuk tujuan menipu bagi mengeluarkan sijil lahir.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tujuh tahun dan denda.

Iklan

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dan deposit RM6,000 bersama seorang penjamin tempatan terhadap tertuduh.

Selain itu, tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di Pejabat SPRM sebulan sekali, dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Iklan

Mahkamah turut menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.