JOHOR BAHRU - Ceramah, syarahan dan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini boleh diadakan hingga jam 12 tengah malam.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan pada Rabu, pindaan prosedur operasi standard (SOP) itu berkuat kuasa serta-merta dan dibuat berdasarkan cadangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Iklan
Iklan
Selain melanjutkan waktu berkempen, SPR turut membenarkan penganjuran kempen secara fizikal di dalam atau pekarangan pejabat dan bilik gerakan parti.
Namun, jumlah kehadiran termasuk penganjur, penceramah dan peserta menghadiri kempen berkenaan haruslah tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang dan tidak boleh diadakan di premis yang terbuka atau di tempat awam.
"SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan Covid-19 bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, SPR menetapkan ceramah, syarahan dan kempen pada PRN Johor hanya boleh diadakan hingga 10 malam. - Bernama
Artikel Berkaitan