Tempat bersejarah di Johor Lama punyai potensi besar dibangunkan

Iklan
Omar Mokhtar

KOTA TINGGI - Tempat-tempat bersejarah yang berada di sekitar Johor masih tidak dibangunkan sepenuhnya bagi memenuhi potensi sebagai lokasi pelancongan yang mampu menarik orang ramai.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Omar Mokhtar A Manap berkata, ketiadaan usaha untuk mempromosikan tempat sedemikian turut menyebabkan ramai rakyat Johor sendiri tidak tahu mengenai tempat bersejarah yang berada dalam negeri mereka.

Iklan
Iklan

"Di dalam negeri Johor ini, di mana kawasan bersejarah yang menjadi tumpuan? Orang tidak tahu. Orang mencari-cari sedangkan Johor ini begitu kaya dengan sejarah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau berkata, isu tersebut berlaku kerana kurangnya usaha pihak berwajib untuk membangunkan dan mempromosikan kawasan bersejarah sebagai tempat pelancongan di Johor termasuk yang berada di kawasan Johor Lama.

Iklan

"Sebagai contoh, semalam saya pergi dekat Kampung Panchor. Kampung Panchor ini di dalamnya ada tempat nama Kota Panchor yang ada sejarah begitu besar.

"Tetapi di tepi itu hanya ada gerai kecil dan itu pun kosong tidak ada orang. Sedangkan gerai itu terletak bersebelahan dengan satu pusat pelancongan sejarah yang orang kata tersohor.

Iklan

"Orang tidak tahu pun sejarah kisah tempat itu pasal apa sedangkan itu antara tempat awal yang dituju oleh Kesultanan Melaka sewaktu melarikan diri dulu,” ujarnya.

Jelas beliau, sebagai kawasan yang pernah menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor yang lama, kawasan Johor Lama sebenarnya memiliki potensi yang strategik untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan utama di negeri itu.

Katanya, banyak tempat di kawasan tersebut yang menonjolkan sejarah, budaya, dan estetika yang luar biasa.

"Johor Lama mempunyai potensi terbesar untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan sejarah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Omar Mokhtar menggesa agar pihak berkuasa mempromosikan tempat-tempat bersejarah di Johor Lama dengan lebih giat supaya kawasan itu bukan sahaja dapat dibangunkan, tetapi kesannya juga meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Kota Panchor merupakan sebuah kota lama yang dibina pada tahun 1716.