JENGKA - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Jengka 24 mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa keselamatan susulan kes kecurian buah sawit yang kerap berlaku.
Ketua peneroka, Razak Daud berkata, jawatankuasa berkenaan bersetuju melantik petugas bagi mengawal setiap ladang-ladang kelapa sawit di penempatan terbabit.
"JKKR bersetuju membayar elaun kepada mereka yang dilantik untuk mengawal ladang kelapa sawit supaya dapat mengatasi masalah kecurian buah sawit yang berleluasa ketika ini.
"Mereka akan bertugas bermula dari jam 10 malam hingga pagi dan akan dibayar elaun RM8 satu jam.
"Kita ada lima peringkat, setiap peringkat sekurang-kurangnya tiga atau empat orang untuk bertugas setiap malam," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kebimbangan peneroka yang berdepan dengan masalah kecurian buah tandan segar.
Razak berkata, inisiatif berkenaan merupakan satu cara yang terbaik untuk menangani masalah kecurian buah sawit kebelakangan ini berikutan harga komoditi itu yang melonjak di pasaran.
"Dalam masa yang sama kita membantu pihak Felda kerana tiada peruntukan bagi tujuan terbabit," tambahnya.