Kopi tradisional semakin dilupakan

Iklan
Biji kopi perlu digoreng selama dua jam untuk mendapatkan kopi yang berkualiti.

KUALA NERANG - Pembuatan kopi tradisional semakin dilupakan selepas kopi campuran mendapat tempat di hati penggemar minuman tersebut hari ini.

Sebahagian besar generasi muda juga tidak pernah merasai keenakan kopi tradisional yang digoreng menggunakan dapur kayu manakala biji kopi pula dihancurkan menggunakan lesung kayu.

Iklan
Iklan

Di Kampung Lubuk Perung, di sini terdapat pengusaha yang membuat kopi tradisional secara kecil-kecilan dan masih ada tempahan yang diterima dari penggemarnya setiap bulan biarpun dalam kuantiti kecil.

Menurut pengusaha kopi tradisional, Mashitah Abdullah,66, kelebihan kopi yang ditumbuk ini adalah aromanya lebih harum dan tidak dicampur dengan pelbagai bahan selain gula dan sedikit garam.

Iklan

"Kami mengamalkan minum kopi asli ini sejak turun-temurun. Kopi tradisional menjadi pilihan walaupun kini semakin banyak kopi campuran di pasaran. Banyak rumah di kampung ini masih mengamalkan minum kopi tradisional.

"Kepuasan menikmati kopi tradisional tiada tolak banding jika mahu dibandingkan dengan kopi campuran yang kita tidak tahu apa yang dicampur bersamanya," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Perung pada Selasa.

Iklan

Mashitah yang juga dikenali dengan panggilan Mak Teh menjelaskan, ada beberapa buah kampung lagi di Padang Terap masih mengekalkan minum kopi tradisional antaranya Kampung Tandop Besar, Kampung Kubang Bembang, Kubang Kenyeng. Kampung Sireh dan Kampung Datuk.

Mashitah mendapat sokongan suaminya, Ishak (tengah) dan anak-anaknya lain di Kampung Lubuk Perung, Kuala Nerang.

Menurutnya, kopi tradisional yang dihasilkan pada awalnya dibuat untuk keluarga sahaja namun tidak menyangka menerima tempahan selepas tetamu meminum kopi yang disediakan semasa datang ke rumah.

"Sebulan saya buat kira-kira 7 kilogram (kg) kopi tradisional berdasarkan tempahan. Pada musim kenduri pula, ada tambahan pula kerana ada yang menempah sehingga 6kg bagi satu-satu kenduri.

"Mereka kena maklum awal sebab nak buat kopi ini ambil masa juga. Sekurang-kurang dua jam diperlukan untuk menggoreng biji kopi tidak termasuk proses menumbuk dan mengayak kopi yang telah hancur," ujarnya yang mempunyai tujuh anak dan 28 cucu.

Mashitah berkata, dia mendapat sokongan suami, Ishak Latif, 67 dan kopi tradisional yang telah siap dijual pada harga RM35 sekilogram.

Biji kopi yang telah digoreng selama dua jam sebelum ditumbuk dengan lesung kayu.

"Saya mewarisi teknik membuat kopi tradisional ini daripada nenek dan ibu sewaktu kecil dahulu. Kini beberapa anak saya juga turut belajar dan mewarisi ilmu ini pula," katanya lagi.

Tambahnya, bekalan buah kopi diperolehi dari Baling selepas pokok kopi yang diusahakan di sekeliling rumahnya semakin mati berikutan kemarau sejak beberapa tahun lalu.

Seorang peminat kopi, Riban Zainon, 44 dari Kampung Barokhas mengakui keistimewaan kopi tradisional kerana aromanya yang berbeza berbanding kopi campuran.