PSM mohon pengurangan denda 50 peratus

Iklan
Laporan Sukan Sinar sebelum ini.

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) secara rasmi memohon pengurangan 50 peratus bagi melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin yang dikendalikan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Mei tahun lalu.

Menurut Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh, badan induk sepak takraw negara itu telah pun menghantar permohonan rayuan kepada ASTAF bagi pengurangan kos AS$15,000 (RM62,779.50) yang dikenakan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Ya, PSM mengambil maklum mengenai surat bertarikh 28 Februari 2022 yang dikeluarkan Setiausaha Agung ASTAF berkaitan pembayaran denda AS15,000 dalam tempoh 72 jam dari tarikh surat dikeluarkan.

"Malah PSM sudah pun mengeluarkan surat permohonan pengurangan denda sebanyak 50 peratus kepada ASTAF pada 2 Mac 2022.

Iklan

"PSM juga terus komited untuk bekerjasama dan menjadi sebahagian daripada ahli gabungan ASTAF dalam memperkukuhkan lagi pembangunan sukan sepaktakraw di rantau Asia," katanya pada Rabu.

ASTAF sebelum itu meminta PSM mematuhi tempoh 72 jam diperuntukan bagi melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin yang berjumlah AS$15,000 dikendalikannya pada Mei tahun lalu.

Iklan

Malah menurut Presiden ASTAF, Datuk Halim Kader, kegagalan PSM berbuat demikian bakal menyaksikan badan induk sepak takraw negara itu berdepan tindakan diumumkan kemudian.

"Kami di ASTAF memang sentiasa menerima dan mempertimbangkan apa sahaja permintaan, rayuan, tetapi setelah berbulan-bulan kita berikan peluang kepada PSM, mereka hanya bersikap endah tak endah dalam perkara ini malah ada pula ‘suara-suara’ yang nak minta kurang RM10,000 ada kata RM5,000 dan ada yang kata RM3,000.

"Apakah ini cara kita berpersatuan? Apakah ini caranya kita selesaikan masalah undang-undang apabila bercakap di tepi gelanggang sahaja? Maaflah, setakat ini saya tak dapat buat apa-apa kerana PSM pun tak buat apa-apa rayuan secara bertulis.

"Kalau tak mampu bayar, buatlah rayuan kepada pihak-pihak tertentu atau jalankanlah derma kilat, saya percaya orang akan bantu mereka yang akan dapat sokongan peminat atau pemimpin daripada persatuan sepak takraw negeri, gabungan itu dapat membantu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.