SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 27,500 kes baharu Covid-19 pada Rabu menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 3,496,090.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 27,072 kes tempatan dan 428 kes import.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 27,311 kes yang dilaporkan atau 99.31 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala serta bergejala ringan manakala sebanyak 189 kes atau 0.69 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.
"Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak 18,019 kes atau 65.52 peratus adalah pesakit Covid-19 kategori dua, sementara 9,292 kes atau 33.79 peratus adalah pesakit kategori satu.
"Bagi kategori tiga, terdapat 71 kes (0.26 peratus); kategori empat dengan 38 kes (0.14 peratus) dan bagi kategori lima adalah sebanyak 80 kes (0.29 peratus)," kata beliau dalam kenyataan, pada Khamis.
Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 189 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 25 kes atau 13.23 peratus dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.
"89 kes atau 47.09 peratus sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak. Sebanyak 38 kes pula sudah menerima dos penggalak.
"Selain itu, 108 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan 48 kes lagi mempunyai komorbid dan enam kes ibu mengandung," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak sembilan kluster baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 475.
"Sebanyak 360 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 139 daripadanya disahkan Covid-19 manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 221," katanya lagi.
Menurut beliau, bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula, sebanyak 194 kes dilaporkan dengan 77 kes disahkan Covid-19 dan 117 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.
Sembilan negeri mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil kes kritikal atau ICU dengan Putrajaya mendahului sebanyak 67 peratus, Perlis (64 peratus), Kelantan (60 peratus), Johor (59 peratus), Kuala Lumpur (58 peratus), Sabah (55 peratus), Melaka (53 peratus), Selangor (51 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus).
Dalam pada itu Dr Noor Hisham memaklumkan, negara merekodkan sebanyak 27,557 kes sembuh pada Selasa menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,169,669 kes setakat ini.