KIEV - Satu rakaman video menunjukkan seorang individu berpura-pura mati dalam pencerobohan tentera Rusia dan sedang membetulkan beg mayatnya di jalan raya di hadapan seorang wartawan televisyen yang sedang membuat liputan sebenarnya bukan berlaku di Ukraine.
Ramai orang menonton klip rakaman tersebut yang tersebar menerusi media sosial sejak 1 Mac lalu itu menyangka kejadian itu berlaku di Ukraine akibat Perang Rusia, bermula pada 24 Februari lalu.
Ada pula menyatakan berita palsu itu dirakamkan di Poland.
Namun, hasil pemeriksaan portal berita altnews dan The Print mendapati, klip video tersebut mengenai tunjuk perasaan berhubung dasar-dasar tentang perubahan iklim dan ia berlaku di Vienna, Austria pada 4 Februari lalu.
Dalam rakaman video itu, lelaki yang berada di hadapan kamera itu ialah seorang wartawan bernama Marvin Bergauer dan melaporkan berita tersebut untuk saluran berita OE24.TV.
Bagaimanapun, terdapat seorang individu sedang terbaring dan membetulkan beg mayatnya di belakang wartawan berkenaan.
Bergauer bercakap dalam bahasa Jerman yang menyebabkan orang ramai tersilap tafsir bahawa laporan berita itu dari Ukarine.
Bagaimanapun, akibat rakaman itu yang disangka berlaku di Ukraine, terdapat individu yang menganggap mayat-mayat tersebut adalah kematian orang awam dalam perang Ukraine dan ia merupakan satu propaganda oleh Barat.
Menurut portal altnews,video itu juga terdapat di laman YouTube - Agensi