SHAH ALAM - Kerajaan akan terus memberikan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir di Terengganu dan Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara golongan yang akan menerima bantuan adalah peniaga informal serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas.
Menurut beliau, tidak ketinggalan, kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada golongan petani dan penternak.
"Saya menyantuni mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan semalam. Alhamdulillah keadaan banjir di Terengganu beransur pulih.
"Di Kelantan keadaan banjir masih belum reda. Terdapat 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi.
"Keluarga Malaysia turut bersedih dan simpati dengan mangsa-mangsa banjir. Justeru, bantuan-bantuan untuk mereka akan diteruskan,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di Facebooknya, pada Khamis.
Pada Rabu, media melaporkan, Ismail Sabri dijangka mengumumkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu pada Khamis sempena lawatannya ke negeri pantai timur itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, pengumuman sempena lawatannya itu dijangka melibatkan bantuan wang insan dan beberapa insentif lain.