HULU TERENGGANU - Penemuan lambakan sisa kayu yang dihanyutkan air di Tasik Kenyir sejak Isnin lalu mengundang tanda tanya sehingga wujud dakwaan mengatakan aktiviti pembalakan menjadi punca kemusnahan itu.
Penduduk Kampung Jenagor, Ghazali Abd Rahman, 63, berkata, sepanjang lebih 60 tahun tinggal di situ, dia belum pernah melihat gelongsoran bukit di kawasan hutan akibat hujan lebat dan banjir.
"Situasi yang berlaku kali ini agak buruk dan menimbulkan banyak tanda tanya terutama bagi penduduk kampung di sini.
"Apa yang saya boleh katakan, ia bukanlah 100 peratus berpunca daripada aktiviti pembalakan, namun saling berkait," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, petang Rabu.
Ghazali mendakwa, aktiviti pembalakan di kawasan berdekatan Tasik Kenyir pernah berlaku namun telah dihentikan tahun lalu.
Bagaimanpun dakwanya, masih wujud aktiviti pembalakan di kawasan itu yang tidak diketahui sama ada mendapat kelulusan atau sebaliknya.
Ghazali merupakan antara penduduk yang tinggal paling hampir iaitu empat kilometer (km) dari kawasan empangan Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud (SJSM).
"Kalau boleh kita harap aktiviti pembalakan dapat diteliti sebaiknya bagi memastikan ia tidak mengancam dan memusnahkan alam semulajadi," ujarnya.
Dakwanya lagi, struktur tanah yang tidak kukuh serta hujan lebat melanda sejak Sabtu lalu mengakibatkan berlaku banyak runtuhan tebing bukit yang membawa sisa-sisa kayu ke kawasan empangan itu.
"Pergerakan tanah serta mendapan yang berlaku mungkin juga antara faktor menyebabkan runtuhan tanah di beberapa tebing bukit kerana hujan tidak berhenti selama lapan jam," katanya.
Tidak mengetepikan dakwaan itu, tinjauan Sinar Harian di sepanjang laluan sejauh 10 kilometer (km) dari perkampungan Orang Asli di Kampung Sungai Berua menghala ke kawasan aktiviti penternakan ikan air tawar di Sungai Como, Tasik Kenyir mendapati, terdapat tanda wujudnya aktiviti pembalakan di situ.
Sementara itu, seorang aktivis, Suzairi Zakaria, 46, mendakwa, aktiviti pembalakan dikesan berlaku di kawasan aktif di Sungai Como pada 2021 dan di hutan simpan Hulu Terengganu berhampiran Kampung Kemat.
"Aktiviti pembalakan berlaku di kawasan ini namun ia bukan menjadi satu-satunya faktor terhadap kemusnahan yang berlaku ketika banjir baru-baru ini.
"Berdasarkan penelitian, faktor utama keadaan ini ialah hujan berterusan namun apabila adanya pembalakan dan penerokaan hutan, proses hakisan akan bertambah buruk dan berlaku lebih cepat," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, petang Rabu.
Katanya, situasi banjir yang melanda yang disifatkan antara yang terburuk pada Ahad lalu menjadi penanda aras bagaimana manusia menguruskan alam.
Justeru tegasnya, kerajaan wajar mengkaji semula kegiatan pembalakan di daerah berkenaan yang menyimpan 1001 khazanah alam semulajadi.
"Apabila habitat semulajadi musnah, biodiversiti dan spesies flora dan fauna turut musnah. Kualiti air minuman akan tercemar kerana kemusnahan beberapa lokasi penting ini mengakibatkan loji rawatan air tidak dapat memproses air dengan baik sekaligus memberi kesan kepada kesihatan.
"Kemusnahan akibat banjir juga menyebabkan kerjaan terpaksa mengeluarkan peruntukan lebih dan ini secara tidak langsung akan merugikan banyak pihak berbanding mereka yang mengaut keuntungan hasil kegiatan pembalakan tanpa kawalan," katanya.
Suzairi yang memperjuangkan kelestarian alam sekitar sejak 2015 berkata, tahap kesedaran mengenai kepentingan alam semulajadi masih rendah.
Katanya, beliau telah beberapa kali menyuarakan mengenai isu pembalakan secara tidak terkawal yang bukan sahaja mengancam spesies tumbuh-tumbuhan malah turut memberi ruang pemburu haram menangkap hidupan liar di kawasan hutan simpan.
"Jika benar-benar peka dengan kepentingan pemuliharaan alam, sudah tentu tidak berlaku kegiatan yang hanya mementingkan diri dan keuntungan semata-mata sehingga sanggup mengabaikan alam ini untuk generasi akan datang," katanya.