Polis serbu kegiatan perlombongan bitcoin curi elektrik

Iklan
Hoong Fong (tiga kanan) bersama pegawainya melihat antara rampasan mesin bitcoin dalam serbuan di tiga buah premis di sekitar Klang bermula Selasa.

KLANG - Kegiatan perlombongan bitcoin yang beroperasi dalam kawasan komersial di Bandar Puteri dan Bayu Perdana, di sini sejak dua bulan lalu diserbu polis, bermula pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, operasi sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya mengesan tiga premis bitcoin terbabit.

Iklan
Iklan

'Seramai 12 lelaki berusia lingkungan 18 hingga 43 tahun diberkas. Siasatan mendapati mereka berperanan sebagai penjaga premis dan juruteknik bagi mengendalikan mesin bitcoin.

"Polis merampas pelbagai peralatan berjumlah RM65,000 membabitkan 155 unit mesin bitcoin; 37 unit 'power suply'; tiga unit monitor, router dan modem untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di IPD Klang Selatan, pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, semakan mendapati tujuh daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau.

Tambahnya, modus operandi kegiatan itu adalah menyewa premis tingkat atas di kawasan komersial dengan bayaran RM1,500 sebulan sebelum mengubah suai premis untuk dijadikan tempat perlombongan bitcoin.

Iklan

"Kegiatan mencuri penyambungan elektrik sejak dua bulan secara haram itu dikesan mengakibatkan kerugian RM60,000," katanya.

Hoong Fong memaklumkan, kesemua suspek direman dua hari untuk siasatan di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990, Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pada tahun 2021, Polis Klang Selatan bertindak memeriksa 11 premis bitcoin dengan tangkapan enam lelaki serta rampasan bernilai RM300,000 manakala tahun ini setakat sehingga Februari, lima premis telah diperiksa membabitkan seorang tangkapan dan rampasan 131 unit 'server' bitcoin.