Perak tak mampu bekal air ke Pulau Pinang

Iklan
Saarani - Foto Bernama

IPOH - Kerajaan Perak masih tidak mampu untuk memenuhi permintaan kerajaan Pulau Pinang bagi membekalkan air mentah ke negeri itu disebabkan keperluan domestik yang masih tidak mencukupi.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beberapa kajian telah dibuat terhadap keperluan air di Perak yang menunjukkan bahawa sumber sedia ada masih belum cukup menampung permintaan sama ada rakyat mahupun industri.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan negeri terdahulu di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga sudah memberikan maklum balas kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air bahawa Perak sedia membantu Pulau Pinang untuk menjual air sekiranya keperluan domestik mencukupi.

Iklan

"Kita ambil kira apa yang berlaku di kawasan pertanian daerah Kerian, apabila takungan air Tasik Bukit Merah kering kita terpaksa menggunakan kaedah lain seperti pembenihan awan untuk mendapatkan sumber hujan sekali gus menunjukkan dalam negeri Perak pun ada masalah bekalan air.

"Dalam kajian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk jangka masa panjang dalam tahun 2050, penduduk Perak akan berjumlah tiga juta orang. Makin ramai orang, lagi banyak air diperlukan untuk penduduk," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Seronok Ke Sekolah Tahun 2022 Negeri Perak dan Majlis Perasmian Pejabat Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), di Pejabat Wanita Perak, di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan.

Saarani (kiri) beramah mesra dengan penerima bantuan persekolahan selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Seronok Ke Sekolah Tahun 2022 Negeri Perak dan Majlis Perasmian Pejabat Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), di Pejabat Wanita Perak, Ipoh pada Khamis.

Saarani menjelaskan, terdapat juga kilang di Taiping yang hanya menerima bekalan air daripada Lembaga Air Perak (LAP) sebanyak 15 peratus manakala baki 85 peratus perlu diperoleh sendiri pihak syarikat melalui sumber-sumber lain.

Berdasarkan keadaan itu, kerajaan negeri melihat keperluan air yang mencukupi amat diperlukan oleh sektor perindustrian terutama pada masa akan datang memandangkan InvestPerak menjangkakan lebih banyak pelabur berminat untuk membuka kilang mereka di negeri ini.

"Oleh kerana itu, kita minta maaf dan bersimpati dengan keadaan Pulau Pinang kerana kita tak dapat nak bantu kerana kami juga perlu menyediakan air yang cukup untuk orang negeri Perak. Itu keputusan yang dapat dibuat.

"Terpulang kepada pihak kementerian untuk mencari penyelesaian bagi masalah itu," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu juga sudah pun dimaklumkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersama delegasi yang mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Perak pada Selasa.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Disember tahun lalu memaklumkan bahawa kerajaan Pulau Pinang masih menunggu maklum balas dari kerajaan pusat berhubung hasrat negeri itu membeli air mentah dari Perak menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri sudah menghantar surat permohonan rasmi pada 19 Oktober tahun lalu kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk membeli air mentah dari Perak dengan harga yang berpatutan, namun belum mendapat sebarang maklum balas.