KULAI - [DIKEMAS KINI] Seramai 56 barisan calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menandatangani akujanji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, dan salah guna kuasa.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ikrar akujanji itu amat penting dan menunjukkan bukti kesungguhan calon PN dalam membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti.
"Kalau hendak bentuk sebuah kerajaan, penting kerajaan yang kita hendak bentuk adalah berintegriti.
"Mereka inilah pemimpin yang dipilih untuk menerajui kerajaan. Dari awal-awal lagi kita buktikan, kita sudah bersedia untuk membentuk kerajaan yang bersih, jujur dan berintegriti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani borang akujanji selesai dilaksanakan di sebuah hotel, pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Presiden Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, nilai integriti membawa makna amat besar kepada semua orang kerana tanpanya, integriti negara serta masyarakat akan rosak.
"Sebagai calon-calon wakil rakyat yang akan dipilih rakyat Johor untuk mentadbir negeri Johor kelak, anda semua memikul satu amanah yang berat dan tanggungjawab besar untuk memastikan nilai integriti sentiasa dijunjung.
"Saya menyeru kepada pengundi di Johor, seluruh bangsa Johor supaya menjadikan PRN Johor kali ini sebagai permulaan pembentukan sebuah kerajaan berasaskan nilai integriti dan prihatin rakyat seperti ditawarkan PN.
"Anda adalah benteng utama untuk menyekat kemaraan semula kumpulan kleptokrat dan politik lama mereka yang berasaskan rasuah dan penyelewengan," ujarnya.