KUALA LUMPUR - Sebanyak sembilan buah premis yang menjalankan kegiatan perjudian di sekitar Wangsa Maju dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pemotongan bekalan elektrik itu dibuat di Setapak Jaya, Jalan Tasik Titiwangsa, Jalan Tun Razak, Jalan Ampang Hilir, Jalan Gombak Batu 5 dan Setapak.
"Kebanyakan premis yang diserbu adalah rumah kedai yang dipercayai disewa oleh sindiket judi dalam talian," katanya ketika ditemui di Setapak Jaya di sini pada Khamis.
Menurut Ashari, polis telah menyerbu beberapa kali pusat perjudian dalam talian itu sebelum ini.
"Kes terbaharu, tiga individu termasuk penjaga premis perjudian dalam talian ditahan dalam serbuan di Setapak Jaya pada 21 Januari lalu.
"Polis merampas pelbagai peralatan digunakan untuk perjudian dalam talian dan suspek dituduh di mahkamah pada 26 Januari lalu," katanya.
Beliau memberitahu, pemotongan bekalan eletrik itu mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka1953 (Akta 289) dan Seksyen 38 (1A) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).
"Sekiranya pemilik premis mahu melakukan pemasangan semula bekalan elektrik, mereka perlu mendapatkan kebenaran polis dahulu sebelum TNB membuat penyambungan semula," ujarnya.