2.5 bilion penduduk dunia alami masalah pendengaran 2050

Iklan
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama

SHAH ALAM - World Report on Hearing menganggarkan hampir 2.5 bilion penduduk dunia mengalami masalah pendengaran dan sekurang-kurangnya 700 juta daripadanya memerlukan rehabilitasi menjelang 2050.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, laporan tersebut turut menyatakan bahawa masalah pendengaran pada masa ini menjejaskan lebih daripada 1.5 bilion penduduk di seluruh dunia.

Iklan
Iklan

Oleh itu, menurutnya, tema Hari Pendengaran Sedunia 2022 ‘To hear for life, listen with care!’ bertepatan kerana memfokuskan kepentingan menjaga pendengaran dan mempraktikkan amalan mendengar yang selamat serta sihat seterusnya mencegah kehilangan pendengaran.

"Hari Pendengaran Sedunia ditetapkan pada 3 Mac setiap tahun oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendengaran dan kewajipan terhadap pemeliharaan serta pencegahan kehilangan pendengaran.

Iklan

"Secara tidak langsung ia juga bertujuan mempromosikan penjagaan kesihatan telinga dan pendengaran di seluruh dunia.

"Amalan pendengaran selamat dan sihat yang disyorkan oleh WHO untuk ‘leisure noise’ adalah di bawah 80 desibel untuk tempoh maksimum 40 jam dalam seminggu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurut beliau, tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan 7.6 peratus populasi dewasa dengan anggaran 1.9 juta orang di Malaysia mengalami ketidakupayaan pendengaran.

Jelasnya, statistik pendaftaran orang kurang upaya (OKU) pendengaran di Malaysia menunjukan terdapat seramai 40,743 individu melibatkan dewasa dan kanak-kanak telah berdaftar sehingga 31 Disember 2021.

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah memulakan Saringan Pendengaran Neonatal yang berisiko tinggi (High Risk Neonatal Hearing Screening) pada 2001. Program ini kemudiannya dikembangkan kepada semua bayi baru lahir (Universal Neonatal Hearing Screening).

"Terdapat 44 buah hospital KKM yang menjalankan Program Saringan Pendengaran Neonatal. Data menunjukkan insiden masalah pendengaran jenis kekal adalah empat bagi setiap 1000 bayi yang disaring.

"Peratusan bayi yang disaring pendengaran pada masa ini adalah sebanyak 62 peratus. Peratusan ini akan ditambah baik lagi sehingga mencapai standard yang ditetapkan oleh Joint Committee Infant of Hearing (JCIH) iaitu lebih atau sama dengan 95 peratus,” ujarnya.

Selain itu, Khairy berkata, Laporan The Lancet Commission edisi 2020 menunjukkan golongan umur pertengahan 45 hingga 60 tahun yang mempunyai masalah pendengaran, berisiko hampir dua kali ganda untuk mengalami dimensia dan kemurungan.

Menurut laporan itu lagi, warga emas yang bermasalah pendengaran mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami dimensia kemudian menjurus kepada kemurungan dan isolasi sosial.