Kerajaan sedia dana bantuan alat peranti pendengaran

Iklan
Kerajaan Malaysia ada menyediakan dana bantuan peranti pendengaran seperti alat bantu pendengaran dan implan koklea bagi pesakit yang kurang berkemampuan serta berpendapatan rendah mengikut kriteria yang ditetapkan.

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia ada menyediakan dana bantuan peranti pendengaran seperti alat bantu pendengaran dan implan koklea bagi pesakit yang kurang berkemampuan serta berpendapatan rendah mengikut kriteria yang ditetapkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Program Implan Koklea Kebangsaan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilaksanakan sejak 2008 adalah untuk membantu individu mengalami masalah pendengaran kekal yang tidak mendapat atau hanya mendapat faedah minimum daripada alat bantu pendengaran.

Iklan
Iklan

"Sehingga 2021, seramai 537 individu (dewasa dan kanak-kanak) telah menjalani pembedahan implan koklea di 10 hospital satelit implan koklea KKM.

"Kolaborasi antara KKM dengan jabatan kerajaan yang lain, badan-badan berkanun, swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO) amat penting bagi memperkukuhkan tadbir urus penjagaan telinga dan pendengaran di Malaysia secara menyeluruh.

Iklan

"Kepentingan kesedaran penjagaan telinga dan pendengaran perlu diperkasakan melalui pelaksanaan strategi kesihatan awam. Amalan mendengar yang selamat dan sihat dalam kalangan individu, keluarga dan masyarakat merupakan langkah pencegahan awal,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian sempena Hari Pendengaran Sedunia ditetapkan pada 3 Mac setiap tahun oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang bertemakan ‘To hear for life, listen with care!’

Iklan

Khairy turut menyeru agar rakyat Malaysia mengamalkan empat amalan mendengar yang sihat dan selamat.

Antaranya, bagi yang menggunakan peranti audio peribadi, mereka perlu pastikan had kekuatan bunyi yang didengari oleh telinga kekal di bawah 80 decibel.

"Pekerja yang terdedah kepada kebisingan yang berterusan (sektor kilang atau perindustrian), sektor penerbangan dan golongan yang terlibat dengan aktiviti rekreasi, sukan dan penggunaan senjata api serta seumpamanya, lindungi pendengaran anda sepanjang masa dengan menggunakan alat-alat pelindung telinga yang dibekalkan.

"Pantau dan pastikan tahap pendedahan kepada kebisingan adalah selamat seperti yang disarankan oleh pihak berwajib serta jalankan pemeriksaan pendengaran bagi mengenalpasti masalah pendengaran di peringkat awal,” ujarnya.