KULAI - Jumlah kehadiran yang ramai ketika kunjungan seorang pemimpin politik daripada UMNO di negeri ini untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan penentu calon itu mendapat sokongan dari rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaliknya ada dalam kalangan yang hadir itu hanya untuk melihat dengan mata sendiri individu berprofil tinggi yang mempunyai kaitan dengan kes di mahkamah.
"Biasalah sesiapa (pemimpin politik) datang, ada yang orang suka datang ada yang orang tak suka pun datang. Tetapi ada juga yang datang sebab nak tengok dekat-dekat betul ke dia ni perompak.
"Jangan kita andaikan yang ramai datang ini betul kerana suka, ramai sebenarnya nak tengok ini kah dia orang yang telah dijatuhkan hukuman penjara dan denda beratus juta kerana terbabit kes SRC International Sdn Bhd.
"Mereka juga mahu tengok orang ini juga ke yang telah turun naik mahkamah kerana kes belum selesai," katanya pada sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Ikrar Calon PN PRN Johor dan Menandatangani Akuan Integriti di Senai di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Nicole Tan Hiang Kee menjemput bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berkempen di kawasannya pada Ahad.
Menurut calon itu juga, jentera kempennya telah mengunjungi sebuah medan selera di Taman Bukit Indah yang mana ketika itu kebanyakan pengunjung Cina lebih memberi perhatian kepada Najib.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, seharusnya pemimpin yang didakwa dikerumuni rakyat itu patut merasa malu kerana mempunyai status sebagai orang telah dijatuhkan hukuman.
"Bagi saya ini satu perkara yang memalukan, tetapi apa nak kata bila ramai datang itu mesti dia (pemimpin berkenaan) rasa seronok, tetapi sepatutnya dia ada rasa malu," katanya.