Hujan lebat, gelinciran tanah punca banjir puing di Tasik Kenyir

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KUALA TERENGGANU – Hujan lebat mencecah 1,000 milimeter dan gelinciran tanah menjadi punca berlakunya banjir puing di kawasan Sungai Terengganu berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, Tasik Kenyir pada Ahad lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan sudah mendapat laporan penuh dari Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu pada Khamis dan didapati tiada aktiviti pembalakan di kawasan kejadian.

Iklan
Iklan

"Siasatan pada 1 Mac di sepanjang Sungai Terengganu berhampiran Empangan Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud membuktikan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana berlaku di kawasan cerun sungai tersebut.

"Gelinciran tanah menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membawa sisa-sisa kayu, debris (serpihan) dan tumbuhan hanyut dikenali sebagai puing.

Iklan

"Ini disebabkan faktor hujan lebat yang turun selama lima hari berturut-turut bermula 23 hingga 27 Februari yang mencecah 1,000 mm,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut Ahmad Samsuri, geliciran tanah runtuh yang dikesan dianggarkan bersaiz 100 meter panjang, 50 meter lebar dan tebal antara 5 hingga 10 meter.

Iklan

Beliau berkata, aliran puing yang bergerak dari puncak bukit hingga ke Sungai Terengganu pula ada yang mencapai sehingga 300 meter panjang.

"Mesyuarat penyelarasan pasca bencana telah dijalankan dan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kayu sedang giat dilakukan oleh pelbagai agensi yang berkaitan.

"Pemantauan melalui udara dan rondaan dari semasa ke semasa juga dijalankan bagi mengawasi keadaan,” katanya.